Displaying publications 1 - 20 of 81 in total

Abstract:
Sort:
  1. Shakinah Ravindran, Wai Kan Woo, Safwan Saufi, Wan Nur Amni, Intan Ishak, Ghows Azzam, et al.
    Trop Life Sci Res, 2019;30(2):1-12.
    MyJurnal
    Penentuan jantina burung adalah penting untuk tujuan kajian ekologi dan biologi evolusi, serta program pembiakan dan konservasi terutamanya bagi burung yang mempunyai ciri monomorfik. Bagi burung pungguk jelapang Tyto alba, pengesahan jantina adalah penting untuk konservasi serta program pengenalan bagi kawalan tikus perosak. Penentuan jantina secara molekular untuk subspesies Asia Tenggara, Tyto alba javanica, telah dijalankan menggunakan Reaksi Rantai Polimerase (PCR) diikuti 3% gel agaros elektroforesis. Primer P2/P8 and 2550F/2718R untuk amplifikasi gen CHD (Chromo Helicase DNA-binding gene) diuji dan kedua-dua set primer memberi keputusan yang berjaya. Set primer 2550F/2718R memberi hasil yang lebih baik kerana jurang di antara jalur berganda lebih terang. DNA yang diekstrak dari darah, darah yang dicairkan, serta DNA yang diekstrak dari bulu burung digunakan untuk menentukan jantina burung. DNA yang diekstrak dari bulu memberi keputusan yang kurang memuaskan akibat pencemaran serta kuantiti DNA yang rendah. Penentuan jantina menggunakan darah yang dicairkan merupakan kaedah yang menjimatkan kos serta masa. Penjujukan gen CHD dari Tyto alba javanica menunjukkan 98% hingga 99% kesamaan identiti bila dibandingkan gen CHD Tyto alba alba.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  2. Hani Nabilia Muhd Sahimi, Chubo, John Keen, Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Noor Bahiah Saripuddin, Siti Sarah Ab Rahim
    Trop Life Sci Res, 2018;29(1):139-154.
    MyJurnal
    Tarsius bancanus borneanus (kera hantu) pertama kali dicam oleh Elliot pada
    tahun 1990 merupakan spesies endemik yang boleh ditemui di kepulauan Borneo yang
    terdiri dari Sabah dan Sarawak (Malaysia), Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
    Sub-spesies ini telah disenaraikan sebagai haiwan yang terlindung sepenuhnya di bawah
    Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak (1998) dan disenaraikan sebagai spesies
    yang terdedah kepada kepupusan oleh IUCN. Kajian ini telah dijalankan di Universiti Putra
    Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), dari Oktober 2014 hingga Mac 2015. Menerusi
    persampelan tangkap-lepas yang meliputi kawasan seluas 37 ha hutan sekunder dan 7.13
    ha hutan yang dipulihara, sebanyak 16 ekor kera hantu telah ditangkap menggunakan jaring
    kabut manakala seekor kera hantu telah berjaya ditangkap semula. Kepadatan populasi
    kera hantu yang ditangkap menggunakan jaring kabut di dalam hutan sekunder adalah
    38 individu/km² manakala 28 individu/km² dicatatkan bagi hutan yang dipulihara. Dengan
    menggunakan kaedah penangkapan per satu unit usaha (net-jam), masa purata bagi
    seekor kera hantu ditangkap di dalam hutan sekunder adalah 26.6 jam/haiwan dan 30 jam/
    haiwan di dalam hutan yang dipulihara. Keputusan membuktikan data mengenai kehadiran
    kera hantu di dalam kedua-dua hutan sekunder dan hutan yang dipulihara terutamanya di
    kampus UPMKB sekaligus menonjolkan nilai pemuliharaan kawasan hutan tersebut.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  3. Zulaikha Zahran, Abdul Hafiz Ab Majid
    Trop Life Sci Res, 2019;30(2):1-16.
    MyJurnal
    Pepijat telah dikumpul dari seluruh Semenanjung Malaysia untuk melihat tahap kerintangan terhadap dua kelas racun serangga, piretroid dan karbamat. Dalam kajian ini, deltamethrin dan propoxur yang tersedia secara komersial digunakan untuk menguji status kerintangan pepijat tropika, Cimex hemipterus di Malaysia. Status kerintangan mereka dinilai dengan menggunakan kertas yang diresapi racun serangga, suatu kaedah bioesei yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sepuluh pepijat dewasa dalam setiap populasi diletakkan di dalam setiap tiub dengan kertas yang diresapi 0.05% deltamethrin dan 0.1% propoxur. Pada mulanya, pepijat terdedah selama 24 jam, kemudian tempoh pendedahan dilanjutkan hingga 14 hari. Bioesei dilakukan dalam triplikat. Tahap kerintangan tertinggi dipamerkan oleh populasi AR dengan nilai masa maut (LT50) sebanyak 466.119 j di dalam tiub yang mengandungi deltametrin. Sebaliknya, propoxur sangat berkesan terhadap populasi IP (Ipoh) kerana nilai masa maut yang paling rendah, (LT50 = 153.032 j). Perbezaan yang signifikan (p < 0.005) didapati antara kelas racun serangga dan populasi pepijat. Purata kematian di kalangan populasi AR, SW, HM, PY, dan PC menunjukkan perbezaan yang signifikan apabila terdedah kepada deltametrin. Sebagai kesimpulan, propoxur menunjukkan keberkesanan yang tinggi dalam mengawal populasi pepijat. Walau bagaimanapun, keberkesanannya hanya di tempat tertentu. Sementara itu, rawatan menggunakan deltamethrin harus dielakkan oleh profesional kawalan perosak kerana keberkesanannya yang rendah.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  4. Nur Akmar Jamil, Gan SM, Burhanuddin Yeop Majlis, Susthitha Menon P
    Sains Malaysiana, 2018;47:1033-1038.
    Artikel ini menganalisis biosensor resonans plasmon permukaan (SPR) dengan lapisan grafin yang meningkatkan
    kecekapan biosensor urea kerana penerapannya yang tinggi. Tatasusunan Kretschmann merupakan teknik yang paling
    berkesan digunakan untuk pengujaan plasmon. Dalam kajian ini, kami menganalisis kesan ekalapisan MoS2 dengan
    lapisan grafin yang didepositkan pada bahan plasmon, iaitu logam emas (Au), di dalam tatasusunan ini. Simulasi untuk
    menganalisis tatasusunan ini adalah berdasarkan kepada kaedah perbezaan terhingga domain masa (FDTD). Prestasi
    biosensor SPR dapat dipantau dengan menganalisis kepekaan dan lebar penuh pada separuh maksimum (FWHM) spektrum
    SPR. Pengukuran diperhatikan pada panjang gelombang 670 nm dan 785 nm untuk pengesanan urea. Indeks molar dan
    indeks biasan berbeza (RI) daripada 1.335 sehingga 1.342 untuk lapisan penderiaan. Keputusan menunjukkan peratus
    peningkatan kepekaan biosensor Au/MoS2
    /grafin berbanding biosensor Au konvensional adalah 98% dan 202% masingmasing
    pada panjang gelombang 670 nm dan 785 nm. Ini menunjukkan bahawa cadangan biosensor SPR yang novel ini
    adalah lebih sensitif untuk pengesanan urea.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  5. Suhaila Sepeai, Wan Zulhafizhazuan, Cheow SL, Ludin N, Ibrahim M, Sopian K, et al.
    Sains Malaysiana, 2017;46:1943-1949.
    Sel suria adalah peranti semikonduktor yang menukar tenaga matahari kepada tenaga elektrik. Sel suria generasi
    pertama terdiri dari sel suria silikon (Si). Pada masa ini, hampir 90% daripada pasaran pengeluaran fotovolta (PV)
    adalah berdasarkan wafer Si. Ini disebabkan oleh kecekapan dan ketahanan yang tinggi serta jangka hayat yang
    lama iaitu selama 30 tahun. Proses pemfabrikasian piawai bagi sel suria Si dimulakan dengan proses pencucian dan
    penteksturan wafer Si, difusi Fosforus untuk pembentukan pemancar, pembentukan elektrod atas dan bawah melalui
    proses cetakan skrin dan proses pembakaran yang melengkapkan fabrikasi sel suria. Dalam industri, proses piawai
    ini dilakukan pada wafer Si jenis-p. Wafer jenis-n pula mempunyai potensi yang tinggi untuk menghasilkan sel suria Si
    yang berkecekapan tinggi. Namun, proses untuk menghasilkan sel suria silikon atas Si wafer jenis-n melalui proses yang
    lebih rumit dan lama seperti dua peringkat proses difusi menjadikan wafer jenis-p digunakan secara meluas kerana
    dapat merendahkan kos pemfabrikasian. Dalam penyelidikan ini, analisis bagi arus-voltan bagi sel suria Si jenis-n yang
    difabrikasi menggunakan adaptasi proses fabrikasi piawai bagi wafer Si jenis-p akan dibincangkan. Daripada kajian
    simulasi menggunakan perisian PC1D, didapati bahawa kecekapan bagi sel suria jenis-p dan jenis-n yang difabrikasi
    dengan kaedah yang sama adalah 19.63% dan 20.16%. Manakala keputusan eksperimen menunjukkan kecekapan
    sebanyak 9.44% dan 5.51% bagi sel suria jenis-p dan jenis-n.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  6. Salma Mohamad Yusop, Mohamad Yusof Maskat, Wan Aida Wan Mustapha, Aminah Abdullah
    Sifat pengelatinan salutan semasa peringkat awal penggorengan pada beberapa suhu yang berbeza telah dikaji. Nuget ayam, sebagai substrat, dicelup ke dalam cecair penyalut dan kemudiannya digoreng pada 150, 165 dan 180oC selama 0, 6, 18 dan 30s. Selepas penggorengan, bahagian salutan dan substrat dianalisis secara berasingan untuk kandungan lembapan. Bahagian salutan juga dianalisis untuk suhu permulaan (To), puncak (Tp) dan akhir (Te) serta entalpi pengelatinan. Keputusan menunjukkan tiada kesan ketara oleh suhu penggorengan terhadap kandungan lembapan kedua-dua bahagian salutan dan substrat. Tetapi, terdapat pola pengurangan kandungan lembapan dengan peningkatan masa penggorengan sehingga 30s untuk setiap suhu yang dikaji. Tiada kesan ketara oleh suhu penggorengan terhadap To, Tp dan Te. Tetapi, penggorengan pada 180 oC menghasilkan darjah pengelatinan yang lebih tinggi selepas 6s. Peningkatan kadar pengelatinan apabila digoreng pada suhu yang lebih tinggi boleh disebabkan oleh peningkatan kadar perpindahan haba semasa penggorengan.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  7. Darfizzi Derawi, Jumat Salimon
    Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.
    Kajian pengoptimuman tindak balas pengepoksidaan minyak sawit olein (POo) dengan menggunakan mangkin asid performik (HCOOOH) telah dijalankan. Kesan tindak balas terhadap nisbah kepekatan HCOOH : H2O2 dan masa tindak balas telah dikaji pada suhu 45oC. Kandungan oksigen oksirana (OOC) optimum sebanyak 3.61% diperoleh dengan menggunakan nisbah mol 1 : 5 : 2 pada 150 min dan sebanyak 96.5% penukaran dapat dicapai. Hasil tindak balas adalah sebanyak 91.3%. Puncak kromatografi cecair berprestasi tinggi (HPLC) bagi minyak sawit olein terepoksida (EPOo) telah berubah sepenuhnya berbanding puncak HPLC POo. Spektrum transformasi Fourier infra-merah (FTIR) telah menunjukkan kehadiran puncak ikatan gelang oksirana pada 844 cm-1.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  8. Nur Hakimah Asnawi, Lam KC
    Sains Malaysiana, 2016;45:1869-1877.
    Penyelidikan ini dijalankan untuk mengesan perubahan guna tanah dan litupan bumi (LULC) di daerah Gombak, Selangor melalui pendekatan penderiaan jauh. Perbandingan data siri masa antara tahun 1989-1999, 1999-2014 dan 1989-2014 telah dilakukan bagi melihat perubahan LULC. Data yang digunakan ialah imej satelit Landsat (TM dan OLI-TIRS) dan Peta Guna Tanah Selangor 1990 terbitan Jabatan Pertanian Malaysia. Guna tanah dibahagikan kepada lima kategori utama, iaitu badan air, hutan, getah, kelapa sawit dan tepu bina. Penilaian ketepatan antara LULC hasil daripada pengelasan imej penderiaan jauh dengan peta guna tanah 1990 dikira berdasarkan Koeffisien Kappa menerusi teknik ralat matrik dan nilai ketepatan adalah 74.5%. Analisis GIS ke atas imej pasca klasifikasi menunjukkan perubahan sebenar LULC bagi tahun perbandingan 1989-1999 ialah 13.69%, seterusnya meningkat kepada 18.65% bagi tahun 1999-2014 dan terus meningkat bagi tahun bandingan 1989-2014, iaitu 24.25%. Guna tanah getah mengalami perubahan sebenar paling tinggi berbanding guna tanah lain dengan -47.73% bagi tahun bandingan 1989-1999, manakala tahun bandingan 1999-2014 menunjukkan guna tanah tepu bina mengalami perubahan paling tinggi dengan +44.53% dan pada tahun 1989-2014 pula guna tanah getah mengalami perubahan sebenar paling tinggi sebanyak -34.6%. Kemerosotan guna tanah getah sangat ketara di daerah Gombak dan mempunyai kaitan dengan peningkatan kawasan guna tanah tepu bina. Secara umumnya, pola perubahan guna tanah dan litupan bumi di daerah Gombak selari dengan perkembangan dan pelaksanaan pembangunan semasa oleh pihak berkuasa.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  9. Nur ‘Aishah Zarime, Wan Zuhairi Wan Yaacob
    Sains Malaysiana, 2016;45:1905-1912.
    Penyelidikan ini mengkaji tingkah laku cadmium (Cd) melalui tanah baki granit yang dipadatkan. Sampel tanah baki granit telah diambil di kawasan Broga, Selangor dan dikaji menggunakan tiga kaedah ujian utama iaitu; ujian fizikal (taburan saiz butiran, had-had Atterberg, graviti tentu, pemadatan dan kebolehtelapan), ujian kimia (pH, bahan organik, luas permukaan spesifik (SSA) dan kadar pertukaran kation (CEC) serta ujian mini kolum turasan. Melalui ujian kolum turasan, konsep kebolehtelapan turus menurun digunakan yang melibatkan tiga faktor iaitu halaju/daya-G, ketebalan sampel dan jenis larutan yang digunakan. Graf lengkung bulus menunjukkan kepekatan Cd dalam tanah baki granit semakin meningkat dengan peningkatan halaju. Urutan kapasiti penjerapan semakin meningkat terhadap kadar putaran alat emparan/daya tarikan graviti (G); 230G>520G>920G>1440G. Pergerakan logam berat melalui tanah baki juga meningkat dengan peningkatan halaju/daya-G. Lengkung bulus juga menunjukkan pergerakan Cd secara songsang dengan ketebalan lapisan tanah di dalam kolum. Masa penembusan bagi ketebalan 20 mm juga lebih lama berbanding ketebalan 15 dan 10 mm. Manakala jumlah Cd yang terjerap oleh tanah baki granit dalam larutan campuran adalah rendah berbanding larutan tunggal (masa yang singkat untuk menembusi lengkung bulus). Tanah baki granit juga mempunyai kapasiti penampanan yang rendah (pHfinal = 4 - 7). Kajian ini menunjukkan bahawa pencirian fiziko-kimia dan sifat penjerapan tanah dengan menggunakan ujian mini kolum turasan mempunyai kaitan yang kuat untuk mencirikan tanah baki granit untuk dijadikan pelapik lempung tereka bentuk.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  10. Tan LL, Musa Ahmad
    Analisis kuantitatif telah dilakukan untuk menentukan kepekatan ion aluminium (Al3+) dalam larutan dengan menggunakan kaedah spektrofotometri UL-Nampak dan jaringan neural tiruan (ANN). Reagen morin telah digunakan untuk membentuk kompleks morin-Al(III). Pencirian terhadap reagen dalam larutan termasuk analisis kestabilan foto reagen, kesan pH, kesan kepekatan, masa rangsangan, julat kepekatan dinamik dan kebolehulangan telah dilakukan. Penggunaan ANN telah berupaya memanjangkan julat kepekatan dinamik ion Al3+ sehingga julat kepekatan 1-13 ppm.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  11. Khosiya Sali, Aidil Abdul Hamid, Wan Mohtar Wan Yusoff
    Penghasilan CGTase daripada Bacillus sp. G1 berjaya ditingkatkan dengan menggunakan sistem kultur selanjar mengatasi penghasilan daripada kultur kelompok. Aktiviti CGTase tertinggi yang didapati dalam kultur kelompok ialah 28.1 U/ml. Kajian kultur selanjar difokuskan kepada masa kemasukan medium segar yang berbeza (12, 24 dan 48 jam ), kadar pencairan ditetapkan pada 0.03 per jam. Hasil menunjukkan masa memulakan pam medium segar tidak memberi perubahan yang signifikan terhadap aktiviti CGTase (25.7, 26.3 dan 26.1 U/ml masing-masing) dan produktiviti CGTase (0.77, 0.79 dan 0.78 U/ml/j masing-masing) pada keadaan mantap tetapi produktiviti CGTase (0.77 U/ml/j) akan lebih tinggi berbanding produktiviti kultur kelompok apabila masa di antara larian kultur kelompok diambil kira. Malah peningkatan berpotensi ditingkatkan lagi dengan memulakan pam medium segar lebih awal daripada 12 jam dan juga dengan meningkatkan kadar pencairan.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  12. Saifful Kamaluddin Muzakir, Shahidan Radiman
    Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.
    Nanozarah zink oksida telah disintesis menggunakan afrons gas koloid sebagai acuan. Zink sulfat (ZnSO4.7H2O) dan gas ammonia digunakan sebagi bahan tindak balas. Masa pengeraman yang dikaji adalah 2 jam dan 18 jam. Daripada analisis mikroskop elektron imbasan, morfologi nanohelaian dapat diperhatikan dengan ketebalan helaian 125 nm hingga 200 nm. Daripada analisis spektroskopi ultra lembayung-boleh nampak, saiz purata yang dianggarkan bagi sampel nanozarah zink oksida yang disintesis dengan masa pengeraman 2 jam adalah 2.03 nm dan 2.1 nm untuk sampel yang dieramkan selama 18 jam.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  13. Mohamad Naim Mohamad Rasidi, Mazrura Sahani, Hidayatulfathi Othman, Rozita Hod, Shaharudin Idrus, Zainudin Mohd Ali, et al.
    Sains Malaysiana, 2013;42:1073-1080.
    Penyakit denggi merupakan penyakit bawaan vektor yang menjadi salah satu ancaman utama kesihatan awam di Malaysia. Pemetaan taburan kes denggi daripada aspek reruang-masa boleh menjadi kaedah yang berguna dalam menilai risiko denggi kepada masyarakat. Kajian ini bertujuan untuk memetakan taburan reruang dan reruang-masa kes-kes denggi di dalam daerah Seremban, dijalankan dengan Sistem Maklumat Geografi (GIS) khususnya analisis reruang dan reruang-masa. Analisis taburan reruang menggunakan Indeks Moran, purata kejiranan terdekat (ANN) dan anggaran kepadatan Kernel. Analisis reruang-masa ditentukan dengan indeks kekerapan, jangka masa dan intensiti untuk mengenal pasti kawasan berisiko denggi mengikut masa. Sejumlah 6076 kes denggi dicatatkan di Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dari tahun 2003 hingga 2009. Kadar insiden denggi adalah tinggi pada tahun 2003, 2008 dan 2009 dengan nisbah denggi : denggi berdarah adalah 21.6:1. Indeks Moran menunjukkan kes denggi berlaku dalam pengelompokan dengan skor Z adalah 16.384 (p=0.000). Analisis ANN dengan 0.264 (p= 0.000) dengan purata jarak insiden antara kes denggi di dalam kawasan kejiranan adalah 55 m. Anggaran kepadatan Kernel menunjukkan lokasi kawasan panas kes denggi tertumpu di Nilai dan Ampangan. Analisis reruang masa dengan purata nilai tertinggi indeks kekerapan, jangka masa dan intensiti masing-masing melebihi 0.023, 0.614 dan 0.657 di kawasan berisiko tinggi denggi di Nilai, Seremban dan Ampangan. Pengawalan denggi perlu diberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi ini.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  14. Zun Liang Chuan, Nor Azura Md Ghani, Choong-Yeun Liong, Abdul Aziz Jemain
    Sains Malaysiana, 2013;42:1339-1344.
    Oleh sebab kejadian jenayah bersenjata api semakin berleluasa, pengecaman senjata api yang digunakan oleh penjenayah amat diperlukan sebagai bahan bukti dalam mahkamah. Beberapa sistem pengecaman senjata api telah diutarakan sebagai pengganti kepada cara penyiasatan tradisional yang amat bergantung kepada kepakaran ahli balistik. Pemetakan rantau tumpuan (ROI) berdasarkan kedudukan titik sauh (PAP) sempadan bulatan kesan pin peletup pada tapak kelongsong peluru merupakan langkah yang amat penting dalam sistem pengecaman senjata api automatik. Walau bagaimanapun, kaedah yang digunakan dalam kajian lepas bagi mengesan PAP sempadan bulatan tersebut adalah sangat kompleks dan memerlukan masa pemprosesan yang panjang. Kajian ini menerokai algoritma yang efisien dan berkemampuan untuk mengesan PAP sempadan bulatan secara automatik. Algoritma yang diutarakan merupakan gabungan daripada penapis penajaman reruang, penormalan histogram, pengambangan dan penganggar kuasa dua terkecil tak berpemberat. Dua kaedah pengambangan yang terkenal telah diuji dan dibandingkan, iaitu kaedah pengambangan berasaskan pengelompokan dan kaedah berasaskan entropi. Di samping itu, penerokaan kesan saiz dan bentuk ROI terhadap kadar pengelasan senjata api turut dipersembahkan. Sebanyak 747 imej kesan pin peletup jenis sempadan bulatan peletup yang dihasilkan oleh lima pucuk pistol yang berlainan daripada jenis yang sama digunakan untuk menguji algoritma yang diutarakan. Kadar pengelasan imej kesan pin peletup yang memberangsangkan (> 95%) telah dicapai dengan algoritma yang dicadangkan. Kajian juga mendapati bahawa saiz dan bentuk pemetakan ROI mempunyai kesan langsung terhadap kadar pengelasan senjata api.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  15. Nurul Huda Abd. Karim, Musa Ahmad, Mohammad Osman, Herman, Ahmad Mahir Mokhtar
    Kajian ini menilai potensi ekstrak pewarna kaliks Hibiscus Sabdariffa L. (rosel) sebagai bahan sensor. Dalam kajian ini, sensor pH dibangunkan menggunakan ekstrak warna kemerahan semulajadi dalam kelopak rosel, delfinidin-3-sambubiosida yang dipegunkan dalam kertas turas gentian kaca. Dalam larutan bebas, ekstrak rosel dicirikan menggunakan spektrofotometer UL-nampak untuk mengkaji kesan pH, kepekatan ekstrak, masa ransangan keadaan mantap, analisis kebolehulangan dan analisis kestabilan foto. Ekstrak rosel terpegun dicirikan dengan menggunakan spektrofotometer pantulan untuk mengkaji kesan pH, masa ransangan keadaan mantap, analisis kebolehulangan, analisis kestabilan foto dan kajian histerisis. Hasil kajian menunjukkan bahawa ekstrak bahan semulajadi boleh digunakan sebagai bahan sensor dalam pembinaan sensor optik pH.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  16. Rosyidi S, Taha M, Ismail A, Chik Z
    Dalam hal yang berkaitan dengan pengurusan turapan jalan raya, keupayaan galas lapisan subgred banyak mempengaruhi keadaan struktur turapan secara keseluruhan. Oleh itu, penilaian kualiti subgred diperlukan dari masa ke masa bagi mengawal kualiti turapan supaya ianya boleh dilalui kenderaan tanpa mengalami kerosakan. Kaedah Analisis Spektrum Gelombang Permukaan (lebih dikenali dengan Spectral Analysis of Surface Wave-SASW) merupakan suatu teknik uji kaji seismos tanpa musnah di lapangan yang boleh digunakan untuk penilaian kekukuhan dan kedalaman struktur turapan jalan termasuk lapisan subgred turapan dengan cepat dan menjimatkan. Makalah ini bertujuan untuk menunjukkan keupayaan kaedah SASW bagi menilai kualiti lapisan subgred turapan. Kaedah SASW dilakukan berdasarkan kaedah perambatan gelombang R. Berasaskan data beza fasa gelombang R yang merambat di permukaan turapan, lengkung eksperimen serakan halaju fasa diperolehi. Selanjutnya melalui proses songsangan, parameter dinamik bahan seperti halaju ricih yang mewakili modulus elastik dan ricih dinamik bahan turapan jalan boleh ditentukan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah SASW berupaya menghasilkan parameter dinamik bahan lapisan subgred turapan yang boleh diguna pakai. Beberapa model empirik dengan korelasi yang baik berjaya diterbitkan daripada kajian ini yang boleh digunakan dengan mudah di lapangan untuk penilaian kekukuhan lapisan subgred secara tepat.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  17. Muhammad Marsudi, Dzuraidah Abdul Wahab, Lily Amelia, Che Hassan Che Haron
    Kertas ini membincangkan pembangunan suatu alat sokongan pembuat keputusan dalam mereka bentuk produk berasaskan teori baris-gilir yang dikaitkan dengan maklumat masa kitar pembuatan. Dengan penggunaan alat sokongan ini, kesan reka bentuk sesuatu produk terhadap parameter kapasiti dan masa kitar pembuatan sesuatu sistem pembuatan sedia ada dapat ditentukan. Aplikasi alat sokongan ini membolehkan kumpulan pembangunan produk membangunkan produk sebenar pada masa yang singkat, meminimumkan kos pembangunan serta mengurangkan keperluan untuk mereka
    bentuk semula produk. Alat sokongan ini telah diaplikasikan pada sebuah industri automotif tempatan dan hasil kajian menunjukkan bahawa alat sokongan tersebut telah berjaya melakukan analisis masa kitar dan tahap penggunaan pada sistem pembuatan sedia ada. Pada jumlah keluaran 44 komponen/jam dan saiz sesekumpul 80, hasil analisis menunjukkan tahap penggunaan pada 98% dengan masa kitar 17.8 jam bagi pemprosesan gabungan produk yang terdiri daripada komponen dengan reka bentuk baru dan reka bentuk sedia ada.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  18. Atmaja P. Rosyidi, Tajul Anuar Jamaluddin, Lim CS, Mohd Raihan Taha
    Sains Malaysiana, 2011;40:1393-1405.
    Gempa bumi pada 30 September 2009, dengan kekuatan 7.6 MW yang melanda Bandar Padang, Padang Pariaman dan wilayah Sumatera Barat, Indonesia, telah mengorbankan lebih daripada 1200 orang. Ribuan buah rumah, bangunan dan infrastruktur lain telah mengalami kerosakan tahap ringan hingga teruk. Kajian ini bertujuan untuk melaporkan kesan gempa bumi Padang terhadap kerosakan bangunan dan tanah runtuh yang berlaku pada kawasan Bandar Padang, Padang Pariaman, Pariaman dan Agam. Kesan gempa bumi ini dianalisis berdasarkan data geologi, geoteknik dan impak geo-bencana yang telah dikumpulkan daripada berbagai sumber dan hasil kajian lapangan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kerosakan di kawasan bandar Padang dan Padang Pariaman lebih disebabkan oleh kualiti bangunan yang tidak memenuhi piawaian bangunan dan pengaruh geologi kawasan, iaitu berlakunya amplifikasi tanah disebabkan oleh endapan aluvium yang tebal. Kerosakan teruk pada bangunan antara lainnya dikaitkan dengan kehadiran jalur-jalur sesar kecil atau ketakselanjaran pada lapisan bawah tanah. Beberapa kejadian tanah runtuh besar yang berlaku di Pariaman dan Agam adalah disebabkan oleh geologi kawasan, geomorfologi dan morfologi cerun yang curam. Kajian lanjut diperlukan bagi mengenal pasti dan menilai risiko bencana untuk persediaan menghadapi bencana gempa bumi di masa hadapan.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  19. Syari J, Muhamad R, Norman K, Ghani A
    Sains Malaysiana, 2011;40:1129-1137.
    Kajian untuk memelihara Sycanus dichotomus Stal. (Hemiptera: Reduviidae), serangga pemangsa ulat bungkus tanaman sawit, Metisa plana Walker (Lepidoptera: Psychidae) dengan menggunakan larva dua spesies serangga, Corcyra cephalonica Stainton (Lepidoptera: Pyralidae) dan Tenebrio molitor Linnaeus (Coleoptera: Tenebrionidae) telah dilakukan di makmal. Kemandirian hidup (%), bilangan telur yang menetas dan tempoh (hari) perkembangan pemangsa (lima peringkat nimfa) telah direkodkan. Min tempoh perkembangan pemangsa peringkat nimfa pertama hingga kelima pemangsa apabila diberi makan larva C. cephalonica masing-masingnya adalah 15.16, 12.09, 11.63, 14.25 dan 18.53 hari, manakala 15.21, 12.34, 12.64, 14.84 dan 21.89 hari apabila diberi makan T. molitor. Min masa perkembangan dari peringkat telur hingga dewasa S. dichotomus apabila diberi makan larva T. molitor adalah lebih lama (156.5 hari) dan berbeza secara bererti (t = 6.51; dk = 87; p < 0.05) berbanding apabila diberi makan dengan larva C. cephalonica (122.8 hari). Peratus kemandirian hidup S. dichotomus daripada peringkat nimfa pertama hingga dewasa adalah lebih tinggi (81%) apabila diberi larva T. molitor berbanding larva C. cephalonica (76%) sebagai makanan. Julat bilangan telur yang menetas apabila diberi makan larva T. molitor adalah antara 46.6 hingga 77.6 ekor. Keputusan menunjukkan S. dichotomus boleh dipelihara dengan menggunakan larva T. molitor sebagai makanan. Keputusan kajian ini juga diharapkan menjadi titik tolak permulaan penyelidikan seterusnya di dalam bidang hubungan mangsa-pemangsa bagi program kawalan biologi di ladang sawit.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
  20. Azhar Abdul Halim, Muhammad Ikram A Wahab, Nor Hasleda Mamat @ Alias
    Sains Malaysiana, 2011;40:1271-1276.
    Penyingkiran boron dalam larutan akuas secara penjerapan telah dikaji dengan menggunakan penjerap komposit yang menggabungkan zeolit, batu kapur, karbon teraktif dan buangan arang sekam padi. Parameter optimum seperti pH, masa sentuhan optimum dan dos bahan penjerap dikaji. Kajian isoterma penjerapan dan kinetik penjerapan turut dijalankan. Hasil penyelidikan menunjukkan penyingkiran boron paling optimum berlaku pada pH5 dan masa sentuhan optimum ialah pada minit ke 120. Dos optimum bagi penyingkiran boron dalam larutan akuas ialah pada dos 280 g/L dan penyingkiran yang dapat dilakukan ialah sebanyak 50.49%. Dalam kajian isoterma, model isoterma Langmuir dan Freundlich telah diaplikasikan dan hasil kajian membuktikan bahawa kajian isoterma penjerapan adalah mematuhi model isoterma Langmuir (R2 = 0.8792). Nilai kapasiti penjerapan maksimum (qm) yang diperoleh daripada model isoterma Langmuir adalah 1.8985 mg/g. Kajian kinetik penjerapan dijalankan untuk mengetahui mekanisme proses penjerapan dan hasil kajian menunjukkan kadar kinetik bagi penjerapan boron ini adalah mematuhi model kinetik tertib kedua. Pekali korelasi yang diperoleh untuk model kinetik tertib kedua ini adalah 0.9929. Ini mencadangkan bahawa kinetik penjerapan boron adalah dipengaruhi oleh proses kimia.
    Matched MeSH terms: Methylglycosides
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links