Displaying publications 1 - 20 of 82 in total

Abstract:
Sort:
  1. Goh, Sang Seong, Tan, Tien Ping
    MyJurnal
    Makalah ini membincangkan tatacara yang dimanfaatkan untuk membangunkan perisian e-terjemahan bersuara chengyu daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu. Chengyu ialah ungkapan tetap dalam bahasa Cina yang biasanya terbentuk daripada gabungan empat aksara. Penggunaan chengyu adalah popular dan lazim dalam bentuk lisan dan tulisan. Chengyu bukan sahaja menghasilkan nilai estetika dalam bahasa dan kebahasaan, malahan mendukung ketamadunan bangsa melalui penzahiran pemikiran, falsafah dan sosiobudaya. Terjemahan chengyu bukan sahaja menggalakkan interaksi antarbahasa dan antarbudaya, malahan turut memperkaya khazanah keilmuan dan kepustakaan bahasa Melayu. E-terjemahan bersuara membolehkan pengguna mencari padanan chengyu dalam bahasa Melayu hanya dengan memasukkan kata kunci. Paparan chengyu dan padanannya serta segala maklumat tentang chengyu dan padanan berkenaan kemudiannya boleh diperdengarkan. Perisian ini amat sesuai digunakan untuk tujuan pengayaan gaya penulisan dan ucapan serta pengkajian tentang perbandingan bahasa dan cara pengamatan antara dunia bahasa Cina dengan dunia bahasa Melayu. Perisian ini juga bermanfaat untuk proses pembelajaran dan pengajaran serta penterjemahan bahasa Gina-bahasa Melayu. Tatacara pembangunan perisian ini terbahagi kepada empat fasa. Fasa pertama bermula dengan penelitian strategi penterjemahan chengyu ke dalam bahasa Melayu untuk mengenal pasti kaedah penterjemahan yang sesuai. Fasa kedua melibatkan penterjemahan chengyu ke dalam bahasa Melayu dengan memanfaatkan strategi penterjemahan yang dikenal pasti. Fasa ketiga ialah pembinaan pangkalan data dan pembangunan e-terjemahan bersuara. Fasa keempat yang bakal dilaksanakan ialah penilaian dan ujian penggunaan e-terjemahan bersuara yang dibangunkan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  2. Nurul Azita Salleh, Kamal Ab Hamid, Mohd Nasrun Mohd Nawi, Muhammad Nazrin Shah Zakaria, Suzana Abd Mutalib
    MyJurnal
    Medium penyampaian maklumat merupakan media pengajaran utama yang digunakan dalam menyampaikan
    maklumat kepada pekerja tempatan dan juga asing dalam Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan (KIKK).
    Justeru, kertas kerja ini menumpukan kepada perbincangan mengenai permasalahan serta hasil kajian lepas berkaitan
    penggunaan media penyampaian maklumat sedia ada oleh pekerja asing dalam KIKK. Kesimpulan hasil kajian
    perpustakaan mendapati terdapat beberapa masalah penggunaan media penyampaian maklumat sedia ada ini daripada
    aspek penggunaan bahasa, cara penyampaian dan medium penyampaian. Bahasa Melayu lazimnya digunakan sebagai
    bahasa pengantar semasa penyampaian maklumat dalam KIKK sama ada dalam bentuk teks mahupun penyampaian
    lisan. Namun, penggunaan Bahasa Melayu ini didapati tidak difahami oleh kebanyakan pekerja asing terutamanya
    pekerja asing bukan warga Indonesia. Cara penyampaian maklumat juga dilihat bersifat satu hala dan kurang difahami
    serta medium penyampaian yang digunakan kurang interaktif dan berbentuk presentasi. Malah, medium penyampaian
    maklumat seperti PowerPoint yang digunakan masih belum cukup kemas untuk memenuhi keperluan kerja pekerja
    asing di tapak bina yang mana teks bahasa Melayu terlalu panjang digunakan, susunan teks dan grafik tidak kemas,
    saiz teks tidak konsisten serta penggunaan grafik yang kurang jelas.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  3. Muhamad Zulazhar Abdul Halim, Ruslina Mohd Jazar
    MyJurnal
    Pemprosesan padi adalah salah satu daripada sektor pertanian yang terbesar di Malaysia. Kekerapan kemalangan
    di tempat kerja yang berlaku dalam sektor ini berpunca daripada pelbagai faktor. Antara faktor utama ialah tahap
    pengetahuan dan kemahiran tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang rendah. Objektif kajian
    ini adalah untuk menilai tahap pengetahuan KKP dan hubung kait antara tahap pengetahuan dan amalan pekerja
    berkaitan KKP dalam sektor ini. Seramai 300 orang responden yang terdiri daripada petani dan pemilik sawah padi
    di Sungai Besar, Selangor dipilih untuk menyertai kajian ini. Penyelidik menggunakan pendekatan soal selidik dalam
    mengumpulkan data kajian. Nilai Cronbach Alpha didapati daripada ujian kebolehpercayaan menggunakan perisian
    SPSS 20.0. Hasil kajian nenunjukkan bahawa jumlah responden tertinggi adalah seramai 138 orang yang bertugas
    membaja dan meracun. Selain itu, seramai 254 responden mengetahui cara bekerja dengan betul dan selamat. Manakala,
    seramai 242 responden mengetahui bahawa bahan kimia boleh meresap ke dalam kulit, mulut, sistem pernafasan dan
    seterusnya mata. Hasil kajian mendapati responden yang terlibat mempunyai tahap pengetahuan memuaskan tentang
    pendedahan risiko fizikal dan pendedahan risiko kimia terhadap tubuh badan mereka serta peralatan perlindungan
    diri yang diperlukan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir responden yang tidak peka untuk meletakkan amaran
    semasa proses menyembur racun dan membaja.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  4. Sebastian S
    Jurnal Psikologi Malaysia, 2009;olume 23:49-56.
    Kajian kes ini telah dijalankan di New Zealand dan melibatkan seorang murid yang mengidap Sindrom Smith-Magenis. Murid ini berumur enam tahun dan menghadiri Tahun Dua di sekolah rendah. Budak perempuan ini telah dirujuk untuk perkhidmatan pengurusan tingkahlaku kerana pihak sekolah dan ibubapanya gagal menguruskan masalah tingkahlakunya yang ekstrim. Rangkakerja analisis situasi digunakan untuk mengumpul data, membina pelan intervensi secara kolaboratif bagi bekerjasama dengan guru dan pengurusan sekolah untuk melaksanakan program intervensi. Hasil daripada intervensi ini adalah positif kerana banyak daripada masalah tingkahlaku yang ekstrim telah berkurang, dan pihak sekolah serta ibubapa budak ini merasa puashati dengan hasil positif ini. Model rangkakerja analisis situasi ini terbukti cekap dan dinamik.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  5. Subhi N, Mohd Radzi Tarmizi AH, Nen S, Zakaria E
    Jurnal Psikologi Malaysia, 2014;olume 28:18-38.
    Homofobia dalaman dikaitkan dengan perasan negatif yang dirasai oleh seseorang lelaki gay dan menjadi konflik dalaman di dalam dirinya. Homofobia dalaman yang dialami oleh lelaki gay merupakan salah satu petunjuk mengapa mereka mencari sebab untuk berkahwin dengan wanita. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap homofobia yang dialami oleh lelaki gay di Malaysia serta melihat pengaruhnya di dalam menentukan alasan lelaki gay memilih untuk berkahwin atau tidak berkahwin dengan seorang wanita. Responden yang terlibat di dalam kajian ini adalah seramai 29 orang yang dipilih daripada laman sosial Facebook, e-mel, kampus UKM Bangi serta sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Satu set borang soal selidik mengandungi item latar belakang demografi, Internalized Homophobia Scale, serta soalan terbuka tentang alasan lelaki gay berkahwin dan tidak berkahwin dengan wanita telah diedarkan kepada responden. Hasil kajian mendapati bahawa tahap homophobia dalaman lelaki gay bagi sampel ini adalah tinggi iaitu sebanyak 72.7 %. Alasan utama lelaki gay berkahwin adalah untuk mendapatkan zuriat (51.72%), kesedaran merubah identiti seksual (31.03%), desakan keluarga (24.14%) dan damba cinta wanita (24.14%) . Manakala tema utama bagi alasan untuk tidak berkahwin pula adalah tidak yakin melakukan hubungan seks dengan wanita (20.70%), risau terhadap kemampuan mencintai wanita (17.24%), tidak mahu mengecewakan wanita tersebut (10.34%) dan sukar mencari jodoh (10.34%). Sokongan sosial yang padu berupaya mengurangkan diskriminasi serta tahap homofobia yang dialami oleh lelaki gay di Malaysia.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  6. Desa A, Yusooff F, Zainah AZ, Nor Ba’yah AK, Mohd Norahim MS
    Jurnal Psikologi Malaysia, 2015;olume 29:32-42.
    Kemahiran keibubapaan, kefungsian keluarga dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan ibubapa adalah tiga aspek yang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga. Kajian dalam kalangan 187 orang ibu dan bapa ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap kemahiran keibubapaan dan kefungsian keluarga serta hubungan antara kedua pemboleh ubah ini. Selain daripada itu hubungan antara kefungsian keluarga dengan kesejahteraan psikologi juga dikaji. Perbezaan antara jantina bagi ketiga-tiga pemboleh ubah tersebut juga dikaji. Dapatan menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran keibubapaan dengan kefungsian keluarga, serta kefungsian keluarga dengan kesejahteraan psikologi. Manakala ujian t pula menunjukkan terdapat perbezaan kemahiran keibubapaan antara lelaki dengan wanita, tetapi tidak terdapat perbezaan dari aspek kefungsian keluarga dan kesejahteraan psikologi. Implikasi kajian ini menunjukkan kepentingan kemahiran keibubapaan dan kefungsian keluarga dalam mencapai kesejahteraan psikologi.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  7. Hwa QA
    Jurnal Psikologi Malaysia, 2012;olume 26:15-20.
    Pertimbangan semula kaunseling yang berasaskan bantuan kerjaya dalam perkhidmatan kaunselingmembolehkan klien untuk menikmati kesejahteraan psikologi. Sehubungan dengan itu, bantuan kerjaya dianggapsebagai pelbagai perkhidmatan yang dirancangkan oleh seorang kaunselor untuk membantu klien bagimemahami konstruk kerjaya (seperti nilai kerja, konflik dan matlamat) serta pengaruh kontekstual (umpamanya,dasar awam dan fenomena global) yang mempengaruhi kesejahteraan psikologi klien di tempat kerjanya dan didalam keluarga. Umpamanya, bantuan kerjaya yang dirancangkan dengan teliti boleh dilaksanakan sebagaiintervensi yang berbentuk perundingan untuk membantu klien bagi (1) mencantumkan nilai dan matlamat kerja pihak majikan dengan nilai peribadi klien supaya klien boleh menghadapi konflik nilai di tempat kerja; dan (2)menyelaraskan pembangunan kerjaya klien dengan tuntutan pihak majikan supaya klien boleh merasa puas hati.Implikasi kaunseling yang berasaskan bantuan kerjaya dalam konteks Malaysia adalah seorang kaunselor perlu:(1) cekap untuk menjalankan kaunseling kerja; (2) memiliki kecekapan silang budaya; dan (3) mahir untukmelaksana pelbagai intervensi seperti yang diperlukan oleh klien dalam proses kaunseling. Dengan ini, seorangklien dibantu untuk mencapai kesejahteraan psikologi demi menyumbang sumber tenaga bagi transformasinegara ke arah Wawasan 2020.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  8. Rokiah Abu Bakar, Siti Hajar Abu Bakar Ah, Abd. Hadi Zakaria
    MyJurnal
    Kajian rintis telah dilakukan di Kuala Lumpur dalam kalangan 30 orang kanak-kanak berumur 10-18 tahun bagi mengumpulkan pandangan mereka mengenai strategi pemasaran kempen anti-merokok. Hasil kajian menunjukkan kempen tersebut kurang berkesan mencegah kanak-kanak daripada merokok. Faktor-faktor yang menyebabkan kempen ini kurang berjaya mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak adalah kanak-kanak tidak merasa takut dengan poster dan gambar penyakit kritikal yang dipaparkan (60%), mereka dengan mudah boleh mendapatkan rokok (66%), serta kekurangan kerjasama semua sektor masyarakat dalam menyokong kempen ini (77%). Strategi pemasaran kempen anti-merokok dari aspek produk, harga, aksesibiliti, promosi, dasar sosial dan perkongsian komuniti perlu diperbaiki dan diberi penekanan seimbang untuk menjamin keberkesanan kempen secara komprehensif.


    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  9. Noor Farhana Nazri, Ruzita Abdul Talib
    MyJurnal
    Kajian berbentuk hirisan lintang ini dijalankan untuk mengkaji hubungan antara keterlibatan aktiviti di kolej kediaman dengan status pemakanan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur dan menentukan tabiat makan pelajar serta kebolehdapatan makanan sihat di sekitar mereka. Seramai 106 pelajar tahun dua hingga empat UKM Kuala Lumpur terlibat dalam kajian ini (20.8% lelaki dan 79.2% perempuan). Data pengambilan makanan subjek direkod dengan menggunakan diari makanan tiga hari. Keterlibatan subjek dalam aktiviti kolej dan juga kebolehdapatan makanan sihat ditentukan dengan menggunakan borang soal selidik yang dibentuk khas untuk kajian ini. Berat badan, ketinggian, ukurlilit pinggang, peratus lemak tubuh dan Indeks Jisim Tubuh (IJT) juga diukur. Hasil kajian menunjukkan majoriti daripada subjek (62.3%) terlibat secara aktif dengan aktiviti yang diadakan di kolej kediaman. Daripada peratusan ini, 5.3% daripada subjek lelaki dan 31.9% perempuan adalah kurang berat badan. 68.4% subjek lelaki dan 55.3% perempuan mempunyai berat badan normal. 21% subjek lelaki dan 8.5% perempuan adalah pra obes. Tambahan pula, 5.3% (n = 1) subjek lelaki dan 4.3% (n = 2) daripada subjek perempuan tergolong dalam klasifi kasi IJT obes. Kajian ini mendapati majoriti subjek bersetuju bahawa mudah untuk memperolehi makanan sihat di kampus. Terdapat korelasi positif yang signifi kan di antara pengambilan tenaga (r = 0.352, p < 0.05) dan lemak (r = 0.391, p < 0.05) dengan Indeks Jisim Tubuh (IJT) bagi penglibatan terhadap aktiviti kolej yang kurang daripada tiga jam. Bagi penglibatan terhadap aktiviti kolej yang lebih daripada tiga jam pula, terdapat korelasi positif yang signifi kan di antara pengambilan tenaga (r = 0.678, p < 0.01), lemak (r = 0.550, p < 0.05), karbohidrat (r = 0.685, p < 0.01), protein (r = 0.465, p < 0.05), kalsium (r = 0.357, p < 0.05), ferum (r = 0.500, p < 0.05), vitamin A (r = 0.733, p < 0.01) dan vitamin E (r = 0.582, p < 0.05) dengan IJT. Pencapaian ‘Recommended Nutrient Intake’ (RNI) bagi pengambilan tenaga, kalsium, ribofl avin, vitamin C dan vitamin E adalah lebih tinggi bagi subjek yang terlibat dengan aktiviti kolej kurang daripada tiga jam berbanding dengan subjek yang terlibat dengan aktiviti kolej lebih daripada tiga jam. Kesimpulannya, walaupun ramai subjek yang aktif, masih terdapat dalam kalangan mereka yang mengalami masalah kurang berat badan, lebih berat badan dan obes. Oleh yang demikian, penglibatan dalam aktiviti di kolej kediaman memberi kesan kepada status pemakanan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  10. Rafina Mimi Muhamad, Pua, Hiang, Atiah Ayunni Abdul Ghani, Balkhis Bashuri, Abdul Aziz Ishak, Khairul Osman
    MyJurnal
    Penentuan kumpulan bangsa dalam analisis rambut pada kepala adalah satu cabaran yang dihadapi dalam analisis forensik untuk mengenal pasti mangsa, suspek dan tempat kejadian jenayah. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perbezaan antara dua kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu dan Cina melalui penelitian ciri-ciri rambut. Ini termasuklah ciri umum rambut, corak kutikel, warna, taburan pigmen kortek dan ciri medula – jenis, ketebalan dan indeks medula. Kajian ini telah dijalankan dengan menggunakan mikroskop cahaya dan terdiri daripada lima langkah iaitu penyediaan sampel, penelitian ciri umum rambut, penyediaan dan penelitian slaid acuan corak sisik kutikel, slaid kortek serta medula. Hasil daripada kajian in mendapati bahawa kebanyakan Melayu mempunyai warna pigmen yang bercoklat gelap manakala Cina mempunyai pigmen coklat cerah. Kami juga mendapati bahawa ketebalan medula boleh juga digunakan untuk membezakan antara Melayu dan Cina di mana nilai purata bagi Melayu dan Cina masing-masing adalah 7.59 ± 1.45 μm dan 9.12 ± 1.85 μm. Nilai purata indeks medula bagi Melayu dan Cina pula adalah 0.17 ± 0.02 μm dan 0.18 ± 0.02 μm masing-masing. Walaupun begitu, ciri-ciri seperti tekstur, ketebalan rambut, corak sisik kutikel, taburan pigmen dan jenis medula pula menunjukkan perbezaan yang tidak ketara antara Melayu dan Cina. Kesimpulannya, kajian ini telah menunjukkan bahawa warna pigmen, ketebalan medula dan indeks medula adalah ciri-ciri penting yang boleh digunakan untuk menentukan bangsa.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  11. Aminuddin Ruskam, Ahmad Syukran Baharuddin, Rashidah Othman, Mohd Ariff Abdul Sarip, Mohammad Amir Wan Harun
    MyJurnal
    Bawang merah merupakan tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat dan telah dijadikan sebagai makanan dan
    ubatan sejak dahulu lagi oleh pelbagai kaum dan bangsa. Kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti khasiat bawang
    merah terhadap tubuh manusia dari perspektif sarjana-sarjana perubatan Islam dan kajian-kajian saintifi k. Data-data
    literatur telah dikumpulkan dari empat buah buku perubatan Islam dan 14 artikel daripada pelbagai jurnal berkaitan.
    Data terkumpul dianalisis menggunakan Nvivo10.0 bagi membentuk kategori bersesuaian seterusnya menghasilkan
    dapatan kajian. Hasil kajian menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 17 khasiat bawang merah yang merangkumi
    enam khasiat dari perspektif sarjana perubatan Islam seperti merawat penyakit mata sentiasa berair, merawat masalah
    dalam telinga, merawat jangkitan dari gigitan anjing, meneutralkan racun, merangsang syahwat dan merawat penyakit
    akibat air tercemar. Manakala 11 manfaat lagi dikenal pasti daripada kajian-kajian saintifi k seperti ia merupakan agen
    antiplatelet, agen anti-pembentukan lemak, agen antioksidan, agen antitrombotik, agen antikarsinogen, agen antidepresen/
    antimurung, agen antiinfl amasi, agen antiasma, agen antibiotik, menurunkan tahap hiperglisemia dan mengurangkan
    risiko penyakit aterosklerosis. Justeru kajian ini mencadangkan agar bawang merah diketengahkan sebagai salah satu
    rawatan organik serta alternatif kepada rawatan konvensional sedia ada.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  12. Hartini Yusof, Mohamed Kamel Abd Ghani
    MyJurnal
    Infeksi Entamoeba histolytica adalah tersebar di seluruh dunia dengan prevalens infeksi yang lebih tinggi di kalangan masyarakat terpinggir termasuk Orang Asli yang tinggal di kawasan tropika dan subtropika. Seramai 71 orang kanak-kanak Orang Asli dari Pos Lenjang, Pahang telah terlibat di dalam kajian ini. Bagi kajian yang lebih terperinci, kumpulan kanak-kanak ini telah dibahagikan menurut jantina dan umur. Sampel feses dikumpul dan setiap sampel diperiksa bagi pengenalpastian Entamoeba histolytica dengan menggunakan 3 jenis teknik diagnostik yang berbeza iaitu teknik apusan langsung, konsentrasi formalin-eter dan perwarnaan trikrom. Prevalens infeksi protozoa usus Entamoeba histolytica di kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang, Pahang adalah tinggi iaitu 22.5%. Dari segi jantina, prevalens infeksi lebih tinggi di kalangan kanak-kanak perempuan (32.5%) berbanding kanak-kanak lelaki (9.7%). Infeksi juga didapati lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang bersekolah (32.4%) berbanding kanak-kanak prasekolah (11.8%). Prevalens infeksi Entamoeba histolytica yang tinggi di kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang, Pahang adalah berhubung kait dengan pelbagai faktor termasuk status sosioekonomi yang rendah, budaya, kekurangan kemudahan asas dan tahap pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan serta kebersihan diri yang rendah.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  13. Noor Alaudin Abdul Wahab, Norashikin Chahed
    MyJurnal
    Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan data normatif timpanometri di kalangan kanak-kanak Melayu prasekolah dan membandingkannya menurut jantina. Ini kerana faktor bukan patologi seperti umur, jantina dan bangsa mempengaruhi data normatif timpanometri. Sehubungan itu, garis panduan saringan telinga tengah oleh American Speech and Hearing Association (ASHA) yang menggunakan data normatif timpanometri kanak-kanak Kaukasian mungkin tidak sesuai untuk populasi kanak-kanak Melayu. Parameter timpanometri yang diukur ialah puncak statik admitan akustik dikompensasi (puncak Ytm), isipadu salur telinga luar (Vea) dan kelebaran timpanogram (TW). Seramai 161 orang kanak-kanak Melayu (80 orang kanak-kanak lelaki dan 81 orang kanak-kanak perempuan) berumur antara 4 hingga 6 tahun terlibat di dalam kajian ini. Bagaimanapun, hanya seramai 45 orang kanak-kanak lelaki dan 46 orang kanak-kanak perempuan (163 dari keseluruhan 182 telinga) memenuhi kriteria inklusi iaitu lulus pemeriksaan otoskopi dan saringan pendengaran serta menunjukkan refleks akustik ipsilateral pada 1000 Hz. Ujian ANOVA Campuran dua-hala untuk membandingkan min parameter timpanometri kanak-kanak lelaki dan perempuan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan; min puncak Ytm (p > 0.05), min Vea (p > 0.05), dan min TW (p > 0.05). Oleh itu, data kedua-dua kumpulan ini digabungkan. Secara keseluruhan, nilai min puncak Ytm ialah 0.55 ± 0.28mmhos, min Vea ialah 0.90 ± 0.39 cm3, dan min TW ialah 104.68 ± 32.08 daPa. Julat normal persentil ke-90 bagi puncak Ytm ialah antara 0.27 hingga 1.18 mmhos, Vea antara 0.45 hingga 1.65 cm3 dan TW antara 59.60 hingga 149.80 daPa. Hasil kajian mencadangkan data normatif timpanometri ini sesuai digunakan ke atas kanak-kanak Melayu prasekolah namun ianya tidak perlu dibezakan mengikut jantina. Sekiranya setiap satu nilai TW > 200 daPa dan Vea > 1.0 cm3 oleh ASHA diaplikasi ke atas kanak-kanak Melayu prasekolah, maka masing-masing akan menyebabkan kadar rujukan yang rendah dan kadar rujukan yang berlebihan.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  14. Noor Alaudin Abdul Wahab, Wan Fazlina Wan Hashim
    MyJurnal
    Garis panduan saringan telinga tengah oleh American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) telah menyarankan agar pendekatan kuantitatif digunakan untuk menginterpretasi keputusan timpanogram. Berbanding pendekatan kualitatif yang digunapakai untuk menginterpretasi timpanogram sebelum ini, pendekatan kuantitatif adalah lebih sesuai kerana ianya bersifat objektif serta dapat diaplikasi dengan peralatan timpanometer komersial yang terdapat di pasaran sekarang. Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan nilai mutlak ciri timpanometri iaitu puncak statik admitan akustik dikompensasi (Puncak Ytm), kelebaran timpanogram (TW) dan isipadu salur telinga luar (Vea) di kalangan kanak-kanak pra-sekolah normal dan Sindrom Down. Lima belas kanak-kanak normal dan 12 kanak-kanak Sindrom Down yang memenuhi kriteria pemilihan subjek terlibat di dalam kajian ini. Nilai purata Puncak Ytm dan Vea bagi kanak-kanak normal masing-masing adalah 0.36 mmho dan 0.57 cm3 manakala kanak-kanak Sindrom Down mencatat nilai purata 0.14 mmho dan 0.38 cm3. Kanak-kanak normal dan Sindrom Down masingmasing mencatatkan nilai purata TW 99.73 dan 148.65 daPa. Analisis statistik menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara kedua-dua kumpulan subjek bagi ketiga-tiga nilai parameter timpanometri yang diperolehi.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  15. Zainah Adam, Muhajir Hamid, Amin Ismail, Shafii Khamis
    MyJurnal
    Ficus deltoidea atau nama tempatannya 'Alas Cotek' telah dipercayai secara tradisional mempunyai aktiviti hipoglisemia. Dalam kajian ini, aktiviti hipoglisemia ekstrak akuas Ficus deltoidea pada tikus normal dan diabetik ringan (aruhan streptozotocin) telah dikaji. Ekstrak pada dos berbeza (100, 500 dan 1000 mg/kg) telah diberi secara oral kepada kedua-dua kumpulan dalam keadaan puasa dan pasca prandial. Keputusan menunjukkan bahawa ekstrak akuas Ficus deltoidea tidak mempunyai kesan hipoglisemia pada tikus normal dan tikus diabetik ringan puasa. Pada tikus diabetik ringan pasca prandial, ekstrak akuas Ficus deltoidea pada dos 1000 mg/kg menunjukkan menunjukkan aktiviti hipoglisemia selepas 2 (p < 0.01), 4 (p < 0.05) and 6 (p < 0.01) jam pengambilan ekstrak. Mefformin, 500 mg/kg juga menunjukkan aktiviti hipoglisemia selepas 2 (p < 0.05), 4 (p < 0.01) and 6 (p < 0.01) jam pengambilan. Oleh sebab itu, kami mencadangkan bahawa mekanisme tindakan ekstrak akuas Ficus deltoidea mungkin melalui peningkatan pengambilan glukos oleh tisu otot serta pengurangan glukoneogenesis pada hepar.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  16. Rabeta Mohd Salleh, Suzana Shahar, Fatimah Arshad, Ahmad Rohi Ghazali, Normah Haron, Nor Fadilah Rajab
    MyJurnal
    Kajian kes-kawalan ini dijalankan untuk mengkaji hubungan adipositi dan komposisi tubuh terhadap risiko kanser payudara di kalangan 70 orang wanita yang baru didiagnos kanser payudara dan 138 orang kawalan. Parameter antropometri yang merangkumi tinggi, berat, ukuran pinggang dan ukuran pinggul dan aras glukosa darah berpuasa serta tekanan darah diukur di kalangan subjek. Komposisi tubuh ditentukan menggunakan analisis bioimpedans (Maltron 906). Hasil kajian menunjukkan Indeks Jisim Tubuh (?T) kumpulan kes adalah 26.0 ± 4.8 kg/m2 dan 25.3 ± 4.5 kg/m2 bagi kumpulan kawalan (p > 0.05). Seramai 71% subjek dari kumpulan kes dan 40% subjek kumpulan kawalan mengalami obesiti abdominal (ukurlilit pinggang 80 cm) [OR = 3.4 (95% CI =1.7-6.9] (p < 0.05). Wanita pra menopaus berisiko sebanyak empat kali untuk mendapat kanser payudara dengan [Adjusted OR = 4.3 (95% CI = 1.8-10.3)]. Peratus lemak tubuh adalah tinggi di kalangan kes (36.4 ± 4.7%) berbanding kawalan 35.3 ± 4.4% tetapi perbezaan ini adalah tidak signifikan. Jisim Tubuh Tanpa Lemak ?TTL) menunjukkan nilai min 38.8 ± 5.7 kg bagi kawalan dan 38.9 ± 5.5 kg pada kes. Korelasi positif yang lemah ditunjukkan di antara umur dan IJT (r = 0.179, p = 0.010), ukuran pinggang (r = 0.218, p = 0.002), nisbah pinggang-pinggul (NPR) (r = 0.233, p = 0.001) dan peratus lemak tubuh (r = 0.330, p = 0.000). Kesimpulannya, obesiti abdominal meningkatkan risiko kanser payudara, terutama di kalangan wanita pra menopaus. Obesiti jenis ini dan peratus lemak tubuh adalah meningkat dengan pertambahan usia. Adalah penting bagi wanita untuk mengekalkan ukuran pinggang yang sihat melalui gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko kanser payudara.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  17. Razalee Sedek, Nor Farhana Mohd Samwil
    MyJurnal
    Pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan oleh kerajaan untuk meningkatkan penerimaan orang ramai terhadap pengambilan ikan air tawar sebagai menu harian. Objektif kajian ini adalah untuk menilai penerimaan terhadap sajian ikan air tawar serta menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilannya dalam kalangan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seramai 232 pelajar dipilih secara rawak daripada pelbagai fakulti di UKM (kampus Bangi). Di samping pelajar, pengendali makanan di kafeteria UKM turut terlibat dalam kajian ini. Soal selidik digunakan bagi menentukan tahap kefahaman dan penerimaan pelajar terhadap ikan air tawar, kekerapan pengambilan sajian ikan air tawar serta faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilannya. Kebolehdapatan dan kepelbagaian menu sajian ikan air tawar dikenal pasti melalui tinjauan di kafeteria UKM terpilih. Majoriti responden (95.7%) mengetahui ikan air tawar secara umum tetapi hanya 55.6% responden yang mengetahui jenis atau spesies ikan air tawar. Kebanyakan responden (63.3%) memilih ikan air tawar sebagai sajian. Ujian Khi Kuasa Dua menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan antara agama dan bangsa dengan pemilihan ikan air tawar sebagai sajian (p < 0.05). Ikan Keli merupakan ikan yang paling digemari oleh sejumlah 51.9% responden. Sajian yang paling digemari oleh majoriti responden (36.2%) ialah sajian ikan goreng. Bagi kebanyakan responden (43.2%), sajian ikan air tawar diambil atas faktor rasanya yang sedap. Kebanyakan kafeteria di UKM yang dikaji menjual sajian ikan air tawar dan hal ini didorong terutamanya oleh faktor mempelbagaikan menu di kafeteria mereka. Sejumlah 69.2% kafeteria melaporkan bahawa pelajar dapat menerima dengan baik sajian ikan air tawar yang disediakan tetapi hanya bagi jenis sajian ikan air tawar terpilih. Hasil kajian ini dapat memberi maklumat kepada kerajaan berkenaan penerimaan dan kesedaran pelajar universiti terhadapikan air tawar serta membantu pihak-pihak tertentu khususnya pengendali makanan di kafeteria UKM dalam menyediakan sajian ikan air tawar yang bersesuaian dengan kegemaran pelajar.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  18. Fatimah Hani Hassan, Vandort, Antoinette Sandra, Rahayu Mustaffa Kamal
    MyJurnal
    Skala perkembangan kanak-kanak barat seringkali digunakan di Malaysia sebagai panduan utama ibu bapa dan golongan profesional dalam memantau perkembangan kanak-kanak kerana kurangnya data rujukan yang dilaporkan serta wujud anggapan bahawa perkembangan kanak-kanak di Malaysia setara dengan perkembangan kanak-kanak di negara Barat. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian-kajian lepas timbul keraguan mengenai kesesuaian skala perkembangan kanak-kanak barat menilai perkembangan komunikasi kanak-kanak di Malaysia. Oleh itu, kajian rintis ini bertujuan untuk membentuk data rujukan yang boleh dijadikan panduan bagi menilai perkembangan komunikasi kanak-kanak tahap bertatih di Malaysia. Kajian ini melibatkan pengadaptasian The Integrated Scales of Development (Cochlear Ltd. 2003) bagi kanak-kanak bertatih yang berusia 16 hingga 30 bulan yang terbahagi kepada tiga subskala berdasarkan umur iaitu subskala 16 hingga 18 bulan, 19 hingga 24 bulan dan 25 hingga 30 bulan. Penilaian kesahan dan kebolehpercayaan telah dilakukan ke atas skala yang diadaptasi. Berdasarkan penilaian kesahan, dua item telah digugurkan daripada subskala 16-18 bulan dan lapan item digugurkan daripada setiap subskala 19-24 bulan dan subskala 25-30 bulan. Ujian kebolehpercayaan alfa Cronbach telah dilakukan dan didapati hanya subskala 16-18 bulan mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi (a = 0.872), manakala kedua-dua subskala 19-24 bulan dan subskala 25-30 bulan mempunyai kebolehpercayaan yang rendah (a = 0.626 dan a = 0.628) masing-masing. Secara keseluruhannya, hasil adaptasi skala ini sesuai digunakan sebagai panduan bagi memantau perkembangan komunikasi kanak-kanak dan bukannya sebagai alat penilaian yang utama.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  19. Megat Muhammad Asri Salleh, Normah Jusoh
    MyJurnal
    Kajian ini adalah bertujuan untuk meneliti hubungan antara pengambilan kafein dan tahap keagresifan dalam kalangan atlet Kor SUKSIS. Kajian ini berbentuk kaedah tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik berkaitan pengambilan kafein dan tahap keagresifan The Judgements About Moral Behavior in Youth Sport (JAMBYSQ). Peserta kajian terdiri daripada 80 orang atlet sukan berpasukan SUKSIS yang dipilih secara rawak. Data telah dianalisis menggunakan ujian statistik deskriptif, ujian t tidak bersandar dan korelasi Pearson. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan signifikan (p = 0.014) bagi tahap kekerapan pengambilan kafein antara atlet lelaki (2.00 ± 0.87) dan atlet perempuan (1.50 ± 0.76). Selain itu, bagi tahap keagresifan pula tidak terdapat perbezaan signifikan antara atlet lelaki (3.37 ± 0.60) dan atlet perempuan (3.23 ± 0.66) serta tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pengambilan kafein dengan tahap keagresifan semasa bersukan (r = 0.024, n = 80, p =0.831). Kesimpulannya, walaupun kekerapan pengambilan kafein berbeza mengikut jantina tetapi ia tidak mempengaruhi tahap keagresifan dalam kalangan atlet Kor SUKSIS. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengkaji dos kafein yang sesuai yang dapat mencetus tahap keagresifan dalam kalangan atlet
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
  20. Lim, K.H., Amal, N.M., Hanjeet, K., Wan Rozita, W.M., Sumarni, M.G.
    MyJurnal
    Peningkatan mutu penjagaan kesihatan menyaksikan peningkatan populasi wargatua di Malaysia. Antara gejab yang menjejaskan taraf kesihatan wargatua adalah rnorbiditi akibat amalan merokok. Meskipun pelbagai kajian tentang merokok telah dijalankan di negara ini, namun ttclak banyak yang berkaitan dengan amalan merokok di kalangan wargatua di Malaysia. Perbezaan faktor sosio ekonomi dan pengetahuan tentang amalan merolook di kalangan 850 responden lelaki berusia 60 tahun dan ke atas yang mengambil bahagian di dalam kajian peringkat kebangsaan sempena Kempen Cara Hidup Sihat 2002 dikaji. Maklumat tentang status merokok, pengetahuan dan sikap diperolehi melalui temubual bersemuka menggunakan borang soal selidik berstruktur. Prevalen merokok di kalangan responden adalah 39.2%. Prevalen diclapati paling tinggi di kalangan golongan bertaraf sosio ekonomirendah. Pengetahuan tentang bahaya amalan merokok berbeza mengikut status perokok. Perokok mempunyai pengetahuan yang lebih rendah, sikap yang lebih negatif tentang amalan merokok serta tanggapan risiko penyakit akibat amalan merokok yang lebih rentlah berbanding dengan bekas perokok dan yang tidak pemah rnerokok. Amalan merokok merupakan masalah yang masih membelenggu wargatua lelaki di negara ini. Prevalen merokok di kalangan wargatua Malaysia pada kadar 39 .2% adalah birth tinggi jikidibandingkanhdengan Amerika Syarikat (12%) dan China (26%). Program anti merokok yang mementingkan peningkatan pengetahuan dan sokongan kepada mereka yang ingin berhenti merokok dasar wargatua. Ini untuk meningkatkan kualiti kehidupan wargatua dengan mencegah penyakit kronik berkaitan dengan merokok.
    Matched MeSH terms: Tetrahydroisoquinolines
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links