Displaying publications 21 - 40 of 85 in total

Abstract:
Sort:
  1. Goh T, Ghani Rafek A, Rahim Samsudin A, Hariri Ariffin M, Baizura Yunus N
    Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.
    Parameter mekanik seperti nisbah Poisson merupakan parameter input kejuruteraan batuan terutamanya dalam perisian komputer model berangka. Kaedah seismos digunakan untuk menentukan nisbah Poisson jasad batuan segar (gred I), terluluhawa sedikit (gred II), terluluhawa sederhana (gred III) dan tinggi (gred IV). Nisbah Poisson setiap lapisan jasad batuan dikira berdasarkan nilai purata halaju gelombang mampatan (Vp) dan gelombang ricih (Vs) pada kedalaman tertentu. Halaju gelombang mampatan (Vp) diperoleh daripada survei seismos biasan dan halaju gelombang ricih (Vs) diperoleh daripada survei analisis spektral gelombang permukaan (SASW) atau analisis gelombang permukaan berbilang saluran (MASW). Sebanyak 66 ujian seismos telah dijalankan pada 9 cerun jasad batuan iaitu 6 ujian di atas 1 cerun jasad batuan granit di JKR kuari Bukit Penggorak, Kuantan, Pahang; 26 ujian di atas 4 cerun jasad batuan granit di Kuari Kajang Rock, Semenyih, Ulu Langat, Selangor; 12 ujian di atas 1 cerun jasad batuan granit di Lebuhraya Silk Kajang (km 14.6) Selangor; 14 ujian di atas 2 cerun jasad batuan syis di Jalan Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser (km 15), Selangor dan 8 ujian di atas 1 cerun jasad batuan kuarzit di Section U10, Bukit Cherakah, Shah Alam, Selangor. Daripada ujian seismos, nilai maksimum nisbah Poisson jasad batuan yang bergred I, II, III dan IV ialah 0.295, 0.335, 0.355 dan 0.364. Nilai minimum nisbah Poisson jasad batuan yang mempunyai gred I, II, III dan IV ialah 0.215, 0.299, 0.334 dan 0.337. Nilai purata nisbah Poisson untuk jasad batuan bergred I, II, III dan IV ialah 0.274, 0.320, 0.345 dan 0.345. Nilai nisbah Poisson jasad batuan menjadi semakin besar apabila gred terluluhawa menjadi semakin besar. Nilai purata nisbah Poisson jasad batuan gred II, III dan IV bertambah sebanyak 16.8%, 25.9% dan 25.9% jika dibandingkan dengan jasad batuan gred I. Keadaan ini berlaku kerana perubahan retakan pada jasad batuan gred I adalah lebih besar apabila mengalami proses terluluhawa. Perubahan retakan menjadi semakin kecil apabila mengalami proses terluluhawa seterusnya. Tiada perubahan retakan berlaku pada jasad batuan gred III apabila menjadi jasad batuan gred IV.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  2. Noraini T, Ruzi A, Nadiah N, Nisa R, Maideen H, Solihani S
    Sains Malaysiana, 2012;41:53-62.
    Kajian anatomi stip telah dijalankan ke atas tujuh spesies Davallia, iaitu D. denticulata, D. divaricata, D. trichomanioides var. trichomanioides, D. trichomanioides var. lorrainii, D. corniculata, D. repens dan D. solida var. solida di Malaysia. Kajian ini melibatkan keratan rentas bahagian stip menggunakan mikrotom gelongsor. Hasil kajian menunjukkan ciri anatomi stip seperti bentuk luaran stip, corak kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis, jenis dan bentuk stel, bilangan berkas vaskular, bilangan lapisan sel parenkima dan juga kehadiran cuping pada keratan rentas stip boleh digunakan untuk pengecaman dan pembezaan spesies. Ciri sepunya bagi genus Davallia ialah kehadiran sel sklerenkima mengelilingi stel dan di bawah lapisan sel epidermis, serta kehadiran sel parenkima berdinding tebal. Banyak ciri diagnostik ditemui dalam kajian ini dan antaranya ialah kehadiran satu cuping pada keratan stip tengah ditemui hanya pada D. trichomanioides var. lorrainii, corak 4 kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis ditemui hanya pada D. repens, corak 3 hanya ditemui pada D. solida var. solida, corak 5 dan 7 hanya ditemui pada D. corniculata, stel jenis dorsiventral protostel bagi D. divaricata dan bagi D. trichomanioides var. trichomanioides pula, kehadiran stel bentuk arka pada stip atas, stip tengah dan juga bawah merupakan ciri diagnostik yang baik untuk pengecaman spesies ini. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa ciri anatomi stip mempunyai nilai taksonomi dalam genus Davallia dan boleh digunakan sebagai data sokongan untuk tujuan pengecaman dan pembezaan spesies.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  3. Se YEN, Sahrim Armad, Rozaidi Rasid, Yew CH, Lee YS, Tarawneh MA
    Sains Malaysiana, 2014;43:1231-1237.
    Komposit epoksi berpengisi hibrid OMMT (organ-monmorilonit) dan getah asli terepoksida (ENR) telah dihasilkan dengan menggunakan kaedah penyemperitan berskru kembar pusingan searah. Ujian regangan ke atas sistem epoksi yang dihasilkan menunjukkan modulus Young bagi komposit hibrid epoksi adalah lebih tinggi daripada resin tanpa pengisi dan nilai modulus didapati meningkat dengan peningkatan komposisi OMMT dalam matriks (setinggi 40% peningkatan). Hal ini dipercayai adalah disebabkan oleh sifat tegar lapisan MMT. Sementara itu, peningkatan luas permukaan kawasan antara fasa ekoran kehadiran fasa penambah didapati telah mengurangkan tegasan alah dan terikan akhir komposit hibrid yang dihasilkan. Pemeriksaan mikrostruktur komposit hibrid epoksi melalui TEM dan xRD mendedahkan taburan OMMT dalam matriks epoksi dengan susunan interkalasi dan pengelupasan. Analisis DSC ke atas sampel yang termatang menunjukkan bahawa T g sistem komposit hibrid adalah rendah berbanding dengan sistem perduaan (ESB dan ESLE). Pengurangan ketumpatan taut silang disyaki merupakan punca penyusutan T g ini.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  4. Wan Zaimi W, Anuar Ishak
    Sains Malaysiana, 2012;41:1263-1270.
    Dalam makalah ini, masalah aliran genangan dalam bendalir mikrokutub terhadap permukaan mencancang yang telap dengan fluks haba boleh ubah dipertimbangkan. Dengan menggunakan penjelmaan keserupaan, persamaan asas yang menakluk aliran bendalir dan pemindahan haba dijelmakan kepada satu set persamaan perbezaan biasa. Persamaan yang dijelmakan tertakluk kepada syarat-syarat sempadan yang berkaitan kemudiannya diselesaikan secara berangka menggunakan kaedah tembakan. Kesan parameter sedutan/semburan fw ke atas profil halaju dan suhu serta pekali geseran kulit dan nombor Nusselt setempat diperoleh dan dibincangkan. Keputusan berangka menunjukkan bahawa penyelesaian dual wujud dalam kedua-dua aliran membantu dan aliran menentang.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  5. WAN ZAWIAH WAN ABDULLAH, MD ZAIDI YAHAYA, MOHAMAD YUSOF MASKAT
    Sains Malaysiana, 2012;41:411-418.
    Kajian ini dijalankan bagi menentukan kesan penambahan kalsium karbonat (CaCO3) dan sukrosa ke atas ekstrak roselle dengan menggunakan Kaedah Respon Permukaan. Sebanyak 21 perlakuan digunakan berdasarkan reka bentuk eksperimen Central Composite Rotatable Design (CCRD). Penentuan nilai pH dan Briks telah dijalankan. Bagi nilai pH, model yang didapati adalah 4.03+0.39x1-8.20x2-0.05x1 2-4.16x2 2-0.02x1x2 dengan nilai x1 adalah kalsium karbonat dan nilai x2 adalah sukrosa. Nilai positif pada kepekatan kalsium menunjukkan penambahan kalsium meningkatkan nilai pH ekstrak roselle. Model untuk Briks adalah 8.91 + 0.23x1 + 2.20x2. Nilai positif pada kepekatan kalsium dan sukrosa menunjukkan penambahan kalsium dan sukrosa meningkatkan nilai Briks ekstrak roselle. Penilaian sensori dengan menggunakan panel terlatih (n=8) menunjukkan penambahan sukrosa meningkatkan penerimaan keseluruhan terhadap ekstrak Roselle. Manakala, kesan penambahan kalsium karbonat telah mengurangkan penerimaan keseluruhan kerana ia merendahkan rasa masam.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  6. Ghani RA, Nasir R, Wan Shahrazad WS, Yusooff F
    Jurnal Psikologi Malaysia, 2013;olume 27:3-14.
    Kajian kuasai-eksperimental ini dijalankan bertujuan untuk mengukur kesan terapi keluarga ke atas herotan kognitif pesalah remaja. Subjek kajian terdiri daripada 18 orang pesalah jenayah remaja yang menerima perintah bon berkelakuan baik berserta perintah tambahan bengkel interaktif sebagai kumpulan rawatan dan 18 orang pesalah remaja yang menerima perintah bon berkelakuan baik tanpa perintah tambahan bengkel interaktif sebagai kumpulan kawalan. Herotan kognitif diukur menggunakan soal selidik laporan kendiri Cognitive Distortion Scale (CDS). Subjek rawatan diberikan enam sesi terapi keluarga dalam jangka masa 2 - 3 bulan selama 50 ke 90 minit bagi setiap sesi. Ujian SPANOVA digunakan untuk mengukur kesan terapi keluarga ke atas pesalah remaja. Hasil kajian menunjukkan terapi keluarga berkesan secara signifikan untuk mengurangkan herotan kognitif pesalah remaja.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  7. Rado Y, Wan Zawiah Wan Zin, Abdul Aziz Jemain
    Sains Malaysiana, 2014;43:359-367.
    Kajian ini bertujuan mendapatkan gabungan statistik untuk pemodelan hujan kelompok berstokastik Denyut Segi Empat Neyman-Scott (NSRP) yang mampu memberikan pemadanan terbaik bagi hujan di stesen hujan Semenanjung Malaysia. Enam set gabungan statistik, yang setiap setnya mengandungi gabungan statistik momen (1, 2 dan 3) dan kebarangkalian hujan dalam selang masa yang singkat (jam) dan panjang (harian), serta empat taburan yang berbeza bagi kelebatan sel hujan (Eksponen, Campuran Eksponen, Gamma dan Weibull) telah dikaji. Penyelidikan telah dilakukan ke atas sembilan stesen hujan yang mewakili rantau yang berbeza di Semenanjung Malaysia. Hasil mendapati bahawa statistik momen ke-3 (kepencongan) tidak memberikan sumbangan yang baik dalam menjayakan model. Selang masa 1, 6 dan 24 jam didapati yang terbaik bagi statistik momen kedua (variasi) bagi menjayakan model. Kajian ini juga mendapati bahawa taburan eksponen adalah yang terbaik bagi pemodelan hujan NSRP di Semenanjung Malaysia.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  8. Amirah Audadi Madzen, Lam KC
    Sains Malaysiana, 2017;46:421-428.
    Fenologi tumbuhan menggambarkan fasa kitaran hidup atau aktiviti tumbuhan dan adalah penting untuk memahami
    interaksinya dengan iklim. Kajian dilakukan untuk mengenal pasti respons fenologi tumbuhan dan metrik fenologi
    hutan dipterokarpa, kelapa sawit dan pokok getah menggunakan data indeks tumbuhan Enhanced Vegetation Index
    (EVI) daripada MODIS-Aqua (produk MYD13Q1) dan purata hujan bulanan sepanjang tahun 2007 dan 2009 di negeri
    Johor. Pola hujan pada tahun 2007 menunjukkan taburan hujan normal, manakala tahun 2009 mengalami kekurangan
    hujan sepanjang tempoh sebelas tahun (2000-2010). Hasil mendapati tren EVI hutan dipterokarpa lebih bervariasi pada
    2009 dengan nilai EVI antara 0.39-0.64 berbanding tren pada 2007 yang tekal dengan nilai EVI antara 0.33-0.57. Tren
    fenologi kelapa sawit pada 2007 lebih kerap mengalami turun naik berbanding pada 2009, masing-masing dengan EVI
    antara 0.45-0.71 dan 0.5-0.74. Corak fenologi pokok getah pada kedua-dua tahun kajian adalah sama dan julat EVI
    pada 2009 adalah lebih kecil berbanding 2007, masing-masing dengan EVI antara 0.39-0.62 dan 0.30-0.73. Pengaruh
    masa susulan ke atas tahap kehijauan tumbuhan telah dikesan, khususnya selepas peristiwa hujan lebat dalam dua
    tahun tersebut dan sedikit sebanyak mempengaruhi nilai korelasi antara pemboleh ubah purata hujan bulanan dengan
    EVI tumbuh-tumbuhan. Permulaan dan pengakhiran musim pertumbuhan hutan dipterokarpa bagi kedua-dua tahun
    berlaku dalam bulan yang sama, iaitu Februari (permulaan musim) dan Disember (pengakhiran musim). Tidak wujud
    perbezaan yang ketara antara panjang musim pertumbuhan kelapa sawit bagi kedua-dua tahun, iaitu hanya 32 hari
    lebih panjang pada 2007 berbanding 2009. Musim pertumbuhan pokok getah pula adalah lebih panjang pada 2007 dan
    lebih singkat pada 2009, masing-masing 176 hari dan 113 hari.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  9. Nor Aziawati Azahari, Sarani Zakaria, Hatika Kaco, Sin Yee Gan, Chia Chin Hua, Sharifah Nabihah Syed Jaafar, et al.
    Sains Malaysiana, 2017;46:795-801.
    Membran selulosa terjana semula (MS) daripada pulpa teras kenaf telah berjaya dihasilkan menggunakan kaedah pra penyejukan dan digumpal menggunakan larutan asid sulfurik. MS disediakan daripada pelarutan selulosa kenaf dalam larutan akues NaOH/urea dan larutan selulosa seterusnya digumpal dengan H2SO4 pada kepekatan 5-12 peratus berat (% bt.) selama 1-10 min. Pengaruh kepekatan penggumpal H2SO4 dan masa penggumpalan ke atas struktur, saiz liang, sifat mekanik dan ketelusan cahaya MS telah dikaji menggunakan pembelauan sinar-X (XRD), imbasan mikroskop elektron tekanan boleh ubah (VPSEM), penguji regangan dan spektrofotometer ultra-violet sinar tampak (UV-vis). Keputusan VPSEM menunjukkan perubahan saiz liang membran bergantung kepada kepekatan larutan penggumpal H2SO4, manakala masa penggumpalan tidak mempengaruhi saiz liang membran. Membran yang direndam dengan larutan penggumpal pada kepekatan 10 % bt. dan masa pembekuan yang sederhana iaitu 5 min menunjukkan sifat mekanik yang lebih baik dengan nilai kekuatan regangan masing-masing 41.9 dan 43.5 MPa. Oleh itu, kajian ini dapat memberikan maklumat mengenai penyediaan MS dengan pelbagai saiz liang dan sifat mekanik dengan pengubahsuaian kepekatan dan masa penggumpalan.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  10. Mohd Salmi Md Noorani, Nor Zila Abd Hamid
    Sains Malaysiana, 2017;46:1333-1339.
    Kajian ini merupakan aplikasi pendekatan kalut ke atas peramalan siri masa bahan pencemar udara ozon di stesen asas Malaysia yang terletak di Jerantut, Pahang. Sebelum model peramalan dibina, siri masa diuji terlebih dahulu sama ada bersifat kalut atau tidak. Melalui plot ruang fasa dan kaedah Cao, siri masa bahan pencemar ozon didapati bersifat kalut bermatra rendah. Oleh itu, model peramalan melalui kaedah penghampiran linear setempat dibina. Sebagai inovasi, model ini ditambah baik. Sebagai perbandingan, model peramalan regresi linear turut dibina. Melalui pengiraan purata ralat mutlak, ralat punca purata kuasa dua dan pekali korelasi, keputusan menunjukkan bahawa model baharu penambahbaikan penghampiran linear setempat adalah lebih baik berbanding model-model yang lain. Maka, penambahbaikan yang dilakukan adalah berbaloi. Dengan itu, pendekatan kalut adalah pendekatan alternatif yang sesuai digunakan bagi membangunkan model peramalan siri masa bahan pencemar ozon. Penemuan model baharu dalam kajian ini diharap dapat membantu memudahkan usaha pihak-pihak berkepentingan dalam menguruskan isu pencemaran udara, khususnya ozon.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  11. Maideen H, Nik Norhazrina N, Nur-aliah M, Noraini T, Nur Farhanim I, Syazwani B
    Sains Malaysiana, 2018;47:645-649.
    Kajian anatomi rizom dan stip telah dijalankan ke atas empat spesies Pleocnemia yang terdapat di Semenanjung Malaysia
    iaitu P. irregularis, P. conjugata, P. hemiteliiformis dan P. olivacea untuk mengkaji variasi ciri yang terdapat pada rizom
    dan stip ini. Kajian ini melibatkan keratan rentas stip dan rizom dengan menggunakan mikrotom gelongsor. Ciri anatomi
    stip seperti bentuk luaran, corak kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis, jenis dan bentuk stel dan ciri anatomi
    rizom seperti kehadiran sel rembes tanin dan kehadiran serta jenis trikom pada sesetengah spesies boleh digunakan untuk
    pengecaman spesies. Ciri sepunya bagi spesies Pleocnemia yang dikaji ialah kehadiran sel sklerenkima mengelilingi stel
    dan di bawah lapisan sel epidermis, stel jenis kompleks serta stel bagi kesemua spesies kajian berbentuk protostel primitif
    (bulat). Antara ciri diagnosis yang ditemui dalam kajian ini ialah bentuk luaran stip, bilangan lapisan skelerenkima
    di bawah epidermis, kehadiran sel rembes tanin bagi spesies P. irregularis dan P. hemiteliiformis serta kehadiran jenis
    trikom yang berbeza dalam keempat-empat spesies. Ciri diagnosis ini adalah ciri yang baik untuk pengecaman spesies
    kajian. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa ciri anatomi stip dan rizom mempunyai nilai taksonomi dalam genus
    Pleocnemia dan boleh digunakan sebagai data sokongan untuk pengecaman dan pembezaan spesies.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  12. Siti Khadijah A. Karim, Nik Marzuki Sidik
    Sains Malaysiana, 2018;47:1701-1708.
    Penggunaan penanda DNA boleh mengurangkan masalah dalam kultur tisu khususnya apabila diaplikasikan semasa
    pemilihan pokok untuk kultur tisu. Oleh itu, penyelidikan ini dijalankan bertujuan untuk membina penanda molekul
    bagi kultur tisu kelapa sawit prolifik dengan menggunakan teknik polimorfisme panjang cebisan teramplifikasi (AFLP).
    Analisis AFLP dijalankan ke atas 20 klon kelapa sawit yang terbahagi kepada tiga kelas iaitu klon tidak prolifik (10
    jenis klon), klon normal (6 jenis klon) dan klon prolifik (4 jenis klon). Kesemua klon yang digunakan adalah daripada
    titisan sel yang berbeza. Sebanyak 25 kombinasi pencetus telah digunakan dalam analisis AFLP dan 13 daripada mereka
    memberikan corak amplifikasi polimorfisme. Daripada hasil ini, sebanyak 44 cebisan polimorfik telah dipencilkan dengan
    33 cebisan adalah bagi klon tidak prolifik, 1 cebisan bagi normal dan 10 cebisan bagi klon prolifik. Cebisan ini telah
    diklon ke dalam plasmid, berjujukan dan seterusnya, analisis jujukan dijalankan. Sebanyak 36 cebisan polimorfik telah
    digunakan bagi kajian seterusnya. Berdasarkan kepada jujukan yang diperoleh, sepasang pencetus yang khusus kepada
    setiap cebisan telah dijana. Jangkaan julat saiz jalur DNA yang diamplifikasi bagi setiap pencetus adalah antara 70
    hingga 500 bp. Pasangan pencetus yang optimum diuji ke atas 20 jenis klon kelapa sawit untuk mengesahkan penanda
    yang telah dibina. Daripada 36 pasangan pencetus yang dibina, 2 pasang pencetus telah menunjukkan potensi untuk
    digunakan sebagai penanda kepada kultur tisu kelapa sawit prolifik.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  13. Siti Kisni Kisson, Christina Peter Ligadu
    MyJurnal
    Pembelajaran Sejarah dengan sumber dokumen teks di sekolah menengah atas telah dikaji. Tiga sumber dokumen teks dengan tajuk, “Perjuangan Mat Salleh menentang pendudukan British di Sabah”, dianalisis menggunakan Model Pemikiran Sejarah. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes kolektif. Empat belas pelajar dari 2 buah sekolah menengah kebangsaan harian di Sabah menjadi sampel kajian. Kaedah pengumpulan data kualitatif adalah melalui kaedah pemerhatian, temu bual kumpulan berfokus dan analisis dokumen. Didapati semua pelajar dapat membina Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) dengan elemen meneroka bukti. Analisis data menunjukkan pelajar-pelajar membina elemen meneroka bukti dengan; mengemukakan pelbagai pendapat tentang penulis dokumen teks berdasarkan bukti, meneroka kebenaran bukti sejarah seperti sejarawan, mengenalpasti lokasi dan tempat perjuangan pemimpin tempatan, serta mempelajari peristiwa sejarah tempatan dengan pengesahan bukti sejarah.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  14. Julie Tay Gek Hsia
    MyJurnal
    Perdagangan lintas sempadan antara Sabah-Sarawak dan Kalimantan secara informal telah wujud sejak sebelumnya konfrontasi Indonesia berlaku pada tahun 1962-1966. Dalam hal ini, penyeludupan barangan di kawasan sempadan turut merupakan satu fenomena yang berterusan sehingga sekarang. Oleh itu, artikel ini ditulis bagi membincangkan mengenai fenomena penyeludupan barangan di kawasan sempadan dengan melihat kepada pandangan komuniti berkaitan permasalahan ini. Kajian ini menggunakan temu bual secara mendalam dan pemerhatian ke atas 15 orang informan bagi melihat kepada fenomena penyeludupan di kawasan kajian. Dapatan kajian mendapati bahawa sejarah perdagangan dan kekeluargaan di kedua-dua kawasan mempunyai kaitan dengan berlangsungnya aktiviti penyeludupan barangan dalam kalangan komuniti sempadan. Persepsi daripada komuniti dan pihak penguatkuasa turut mempengaruhi kelangsungan fenomena tersebut disebabkan sejarah perdagangan dan hubungan kekeluargaan yang dimiliki oleh kedua-dua komuniti sempadan. Namun demikian, dari sudut pandang nasional, fenomena tersebut merupakan satu aktiviti yang menyalahi undang-undang yakni penyeludupan. Oleh itu, bertitik-tolak daripada faktor tersebut isu ini terus berlaku di kawasan kajian.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  15. Rasimah, I., Adawiyah, J., Norazirah, M.N.
    Medicine & Health, 2020;15(2):153-163.
    MyJurnal
    Ustekinumab adalah agen biologi yang berkesan untuk rawatan kulit psoriasis dengan menyasarkan molekul interleukin 12 dan 23. Namun begitu ada beberapa halangan ketika penggunaannya seperti kegagalan sekunder dan juga peristiwa paradoks. Penyakit juga didapati kembali menyerang selepas terapi dihentikan. Kajian kohort retrospektif telah dilakukan ke atas pesakit kulit kronik psoriasis yang telah menerima ustekinumab di antara tahun 2013 ke 2018 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Demografi, ciri-ciri klinikal, keberkesanan rawatan, komplikasi, kadar dan corak penyakit berulang dikaji melalui rekod-rekod pesakit. Enam (75%) pesakit adalah lelaki. Enam (75%) pesakit ini tidak pernah menerima agen biologi sebelum ini. Usia median pesakit adalah 41.5 tahun (IQR 26.8-48.3), tempoh median penyakit ialah 16.5 tahun (IQR 6.5- 23.0). Tempoh median untuk mencapai kadar 75% pengurangan penyakit (PAS I75) adalah 16 minggu. PASI75 pada minggu ke 12 dicapai oleh 37.5% pesakit manakala tempoh median untuk mencapai sekurang-kurangnya PASI75 adalah 16 minggu. Tempoh median keseluruhan rawatan adalah selama 102 minggu. Semua pesakit berjaya dirawat. Dua (25%) pesakit mengalami kegagalan sekunder. Seorang (12.5%) pesakit mendapat peristiwa paradoks dengan tumbuhnya fenomena nanah dan plak di kulit semasa rawatan. Tempoh median untuk penyakit berulang adalah 40 minggu. Semua pesakit kecuali seorang memerlukan rawatan biologi untuk penyakit berulang. Ustekinumab berkesan untuk semua pesakit. Kejayaan rawatan diperolehi 4 minggu selepas piawai yang dijangkakan. Kohort ini telah merekodkan kegagalan sekunder dan fenomena paradoks yang jarang berlaku. Penyakit didapati akan berulang dan corak psoriasis yang berbeza ditemui selepas rawatan dihentikan.

    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  16. Amirul-Aiman Ahmad Juhari, Noraini Talip, Siti Khaulah Abdul Razak, Nurul-Syahirah Mansur, Amalia Rusydi, Ruzi Abdul Rahman, et al.
    Trop Life Sci Res, 2019;30(2):1-20.
    MyJurnal
    Acanthaceae merupakan famili tumbuhan berbunga di bawah order Lamiales dan terdiri daripada sekurang-kurangnya 4,000 spesies di kawasan tropika dan juga kawasan subtropika dengan genus Justicia merupakan genus terbesar. Kajian mikromorfologi petal dan sepal telah dijalankan ke atas ke atas enam spesies iaitu Justicia betonica L., J. carnea Lindl., J. comata (L.) Lam., J. gendarussa Burm.f., J. procumbens L. dan J. ptychostoma Nees. Kaedah kajian termasuklah penetapan bunga di dalam larutan penetap, siri dehidrasi, titik pengeringan genting dan cerapan di bawah mikroskop imbasan elektron. Hasil kajian menunjukkan kesemua enam spesies mempunyai variasi dan perbezaan mikromorfologi pada permukaan epidermis petal dan sepal. Kutikel lilin boleh ditemui pada kedua-dua permukaan epidermis petal dan sepal kesemua spesies yang dikaji. Kutikel lilin butir merupakan satu-satunya jenis kutikel lilin yang ditemui pada kesemua permukaan petal dan sepal spesies kajian. Terdapat lapan jenis trikom ditemui pada permukaan epidermis sepal dan juga lapan jenis trikom pada permukaan epidermis petal. Justicia betonica boleh dibezakan secara langsung dengan kehadiran stomata amfidiasitik pada permukaan epidermis petal dan stomata tidak hadir pada permukaan petal spesies yang lain. Kesimpulannya, hasil kajian ini membuktikan ciri mikromorfologi petal dan sepal mempunyai kesignifikan sistematik dan boleh digunakan sebagai data sokongan bagi pembezaan dan pengenalpastian spesies dalam genus Justicia.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  17. Harold Criso Ajin, Mohamed Kamel Abd Ghani, Abdul Hamid Abd Aziz, Ahmad Zorin Sahalan, Norazah Ahmad
    MyJurnal
    Kajian ini dilakukan bertujuan untuk menentukan prevalens kandidiasis dalam kalangan wanita yang berumur 20 hingga 59 tahun di Hospital Umum Sarawak melalui pemeriksaan ke atas lumuran Pap lazim. Prevalens jangkitan ini dikaji dalam kalangan lima kumpulan etnik yang utama iaitu kaum Iban, Cina, Melayu, Bidayuh dan Orang Ulu. Penyaringan mikroskopik dijalankan ke atas lumuran Pap lazim sejumlah 300 sampel slaid yang telah diproses dan dicelup menggunakan pencelupan Papanicolaou. Berdasarkan maklumat pada borang permohonan penyaringan lumuran Pap, tanda dan gejala jangkitan diambil kira sebagai petunjuk penting semasa penyaringan kerana melalui tanda dan gejala jangkitan, lumuran Pap mempunyai hubungan yang rapat dengan ciri-ciri gambaran sitomorfologi jangkitan yang berlaku ke atas sel-sel epitelium sekiranya ia mengalami jangkitan. Kategori umur untuk setiap golongan etnik juga dijadikan sebagai salah satu faktor pengukur bagi menilai tahap kekerapan jangkitan. Hasil kajian menunjukkan Candida sp. telah dapat dikesan sebanyak 12.7% daripada jumlah spesimen. Jangkitan berlaku pada kesemua kumpulan etnik dan juga pada kesemua golongan umur 20 hingga 59 tahun. Kesemua kes turut menunjukkan tanda dan gejala jangkitan. Hasil kajian ini menunjukkan pentingnya menjalankan ujian penyaringan lumuran Pap bagi mengesan jangkitan kandida di samping sebagai saringan awal pengesanan kanser serviks.


    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  18. Lee, Szu Ming, Poh, Bee Koon, Mohd Ismail Noor, Ahmad Fuad Shamsuddin
    MyJurnal
    Kafein mempunyai kesan ergogenik terhadap golongan yang terlatih; walaubagaimanapun, kajian kesan fisiologi kafein terhadap golongan sedentari adalah amat terhad. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji kesan kafein ke atas penggunaan oksigen dan tanggapan tahap lesu semasa senaman intensiti sederhana dalam kalangan dewasa muda perempuan yang sedentari. Subjek terdiri daripada 16 orang mahasiswi yang berumur antara 22 hingga 24 tahun. Kriteria penerimaan adalah tahap aktiviti fizikal yang rendah dan pengambilan kafein adalah kurang daripada 50 mg sehari, disaring dengan menggunakan Soal Selidik Aktiviti Fizikal Antarabangsa (versi pendek) dan soal selidik pengambilan kafein. Reka bentuk kajian eksperimental ini adalah buta tunggal, pindah silang, kawalan plasebo dengan semua subjek menjadi kawalannya tersendiri. Subjek dikehendaki malaporkan diri ke makmal untuk menjalankan dua sesi eksperimen selepas masing-masing mengambil kapsul plasebo atau kafein dengan selang masa 3 hari antara dua sesi eksperimen tersebut. Enam puluh minit selepas mengambil kapsul plasebo (Glucolin, glukosa) atau 100 mg kafein (Pro-plus, United Kingdom), subjek dikehendaki berlari di atas treadmill selama 30 minit pada kuasa kerja yang bersamaan 60% daripada anggaran maksimum kadar denyutan jantung. Penggunaan oksigen, kadar denyutan jantung dan tanggapan tahap lesu direkod pada minit ke-20, ke-25 dan ke-30, manakala tekanan darah direkod serta-merta selepas subjek menghabiskan larian. Perbezaan direkod selepas kesemua subjek menyempurnakan kedua-dua eksperimen plasebo dan kafein. Min peratus lemak tubuh subjek adalah 28.4 ± 5.4. Ujian t bersandar menunjukkan tiada perbezaan signifikan antara trial plasebo dengan trial kafein ke atas penggunaan oksigen (13.99 ± 2.47 vs 14.49 ± 1.73, p = 0.440), tanggapan tahap lesu (12.3 ± 2.5 vs 12.3 ± 2.1, p = 1.000), tekanan darah sistolik (113 ± 10 vs 117 ± 11, p = 0.129), tekanan diastolik (67 ± 8 vs 69 ± 10, p = 0.408) dan kadar denyutan jantung (127.3 ± 11.0 vs 127.1 ± 11.6, p = 0.912). Terdapat korelasi negatif tinggi yang signifikan antara peratusan lemak tubuh dengan pengambilan oksigen (r = –0.568, p < 0.05) serta korelasi positif tinggi yang signifikan antara peratusan lemak tubuh dengan tanggapan tahap lesu (r = 0.515, p < 0.05). Hasil kajian tidak meningkatkan kesan yang signifikan mungkin disebabkan oleh kesan saiz (effect size) kajian ini yang kecil (d = 0.24). Justeru itu, kajian masa depan yang melibatkan lebih ramai subjek harus dijalankan untuk mengkaji kesan kafein semasa senaman dalam kalangan populasi sedentari.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  19. Ahmad Nazlim Yusoff, Mohd Harith Hashim, Mohd Mahadir Ayob, Iskandar Kassim
    MyJurnal
    Kajian garis pangkal pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) telah dijalankan di Jabatan Radiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ke atas seorang subjek lelaki sihat berumur 25 tahun menggunakan sistem pengimejan resonans magnet (MRI) 1.5 T. Kajian ini menggunakan gerakan jari tangan kanan dan kiri untuk merangsang aktiviti neuron di dalam korteks serebrum. Subjek diarahkan supaya menekan jari-jari pada ibu jari secara bergilir-gilir semasa imbasan kefungsian dilakukan. Paradigma 5 kitar aktifrehat digunakan dengan setiap kitar masing-masing mengandungi 20 siri pengukuran. Keputusan menunjukkan bahawa rantau otak yang aktif akibat gerakan jari adalah girus presentral merangkumi kawasan motor primer. Pengaktifan otak adalah secara kontralateral terhadap gerakan jari tangan kanan dan kiri. Keamatan isyarat keadaan aktif didapati lebih tinggi daripada keamatan isyarat keadaan rehat. Analisis yang dilakukan ke atas beberapa rantau pengaktifan yang diminati (ROI) pada beberapa hirisan menunjukkan perbezaan yang bererti (p < 0.05) antara keamatan keadaan aktif dan rehat untuk nilai ambang statistik (Z) = 1.0 dan 1.5. Perbezaan purata antara kedua-dua purata keamatan isyarat keadaan aktif dan rehat pada manamana hirisan untuk kedua-dua nilai Z menunjukkan magnitud pengaktifan yang lebih tinggi pada hemisfera kanan otak iaitu apabila subjek menggerakkan tangan kirinya. Bilangan voksel yang aktif juga didapati lebih tinggi pada hemisfera kanan berbanding pada hemisfera kiri otak. Keputusan ini menyokong fakta bahawa bagi subjek yang tidak kidal, kawasan pengaktifan motor pada hemisfera kanan otak semasa gerakan jari tangan kiri mengalami rangsangan hemodinamik yang lebih tinggi berbanding dengan hemisfera kiri otak semasa gerakan jari tangan kanan. Fenomena rangsangan hemodinamik yang diperhatikan dalam kajian ini dibincangkan berdasarkan kepada kebergantungan kontras isyarat kepada aras oksigen darah (BOLD).
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  20. Ahmad Nazlim Yusoff, Mohd Harith Hashim, Mohd Mahadir Ayob, Iskandar Kassim
    MyJurnal
    Kajian garis pangkal pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) telah dijalankan ke atas 2 orang subjek lelaki sihat (kidal dan tidak kidal) masing-masing berumur 22 dan 25 tahun. Imbasan fMRI dijalankan menggunakan sistem pengimejan resonans magnet (MRI) 1.5 T di Jabatan Radiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian ini menggunakan gerakanjari tangan kanan dan kiri untuk merangsang aktiviti neuron di dalam korteks serebrum. Paradigma 5 kitar aktifIrehat digunakan dengan setiap kitar mengandungi satu blok aktif dan satu blok rehat yang masing-masing mengandungi 10 siri pengukuran. Imej fMRI dianalisis menggunakan pekej perisian MatLab dan pemetaan statistik berparameter 2 (sPM2). Proses pendaftaran jasad tegar menggunakan penjelmaan afin 6 parameter dilakukan ke atas kesemua imej kefungsian berwajaran T2*. Keputusan menunjukkan bahawa pergerakan subjek adalah minimum sama ada dalam arah translasi (< 1 mm) atau putaran (< 1 ). Kesemua imej dinormalkan melalui proses peledingan tak linear menggunakan penjelmaan afin 12 parameter dan didapati sepadan dengan pencontoh yang telahpun mematuhi ruang anatomi piawai. Walau bagaimanapun, bentuk, resolusi dan kontras imej kefungsian telah berubah sedikit berbanding dengan imej asal. Pelicinan imej menggunakan kernel Gaussian isotropik 6 mm menyebabkan data imej lebih bersifat parametrik dengan kehilangan yang ketara dalam resolusi dan kontras. Pengasingan struktur yang dilakukan ke atas imej berwajaran T1 mengklaskan tisu otak kepadajirim kelabu, jirim putih dan bendalir serebrospina. Pasca pemprosesan ruang bagi imej kefungsian dan struktur menjadikan data imej bersifat parametrik dengan taburan jenis Gaussian dan sedia untuk dianalisis menggunakan model linear am dan teori medan rawak Gaussian.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links