Displaying 1 publication

Abstract:
Sort:
  1. Umar Hamzah, Yong CY, Bashillah Baharudin, Abdul Rahim Samsudin
    Analisis kimia air telah dilakukan terhadap larutan yang diekstrak dari 85 sampel tanah yang dipungut di kawasan ternakan udang harimau di Kerpan. Sampel tanah dikorek pada kedalaman 2 m bermula dari garis pantai sehingga 20 km ke arah daratan. Selain daripada tanah, air bawah tanah juga disampel dengan penggerudian yang berkedalaman 10 hingga 25 m untuk dilakukan analisis kimia air. Hasil analisis hidrokimia larutan yang diekstrasi dari sampel tanah yang diambil pada kedalaman 1-2 m menunjukkan kepekatan klorida berjulat dari 12 hingga 6500 mg/L. Berdasarkan kepekatan ion tersebut, kawasan kajian telah dibahagikan kepada beberapa zon-zon iaitu zon masin dan payau. Kepekatan pepejal terlarut yang diukur adalah dalam julat 100 hingga 40,000 mg/L dengan julat ini merangkumi zon berair segar hingga masin. Zon berair masin yang ditafsir berdasarkan kepekatan pepejal terlarut adalah dalam lingkungan 1 km dari pantai manakala berdasarkan kepekatan klorida sempadan ini adalah disekitar 4-5 km. Kehadiran air masin boleh berasal dari penerobosan langsung dari laut ataupun melalui proses air pasang-surut dimana air laut masuk melalui sungai atau terusan berhampiran ke kawasan kajian. Kehadiran air masin juga disokong oleh pertambahan kepekatan unsur-unsur seperti naterium, kalium dan kalsium ke arah laut. Berdasarkan peta taburan spatial kepekatan klorida, pola kontur kemasinan tinggi didapati mengikut bentuk kolam ternakan udang. Oleh itu besar kemungkinan pengaruh air masin adalah dari proses infiltrasi air kolam ke kawasan sekitar. Untuk melihat samada proses penerobosan juga turut memainkan peranan dalam mempengaruhi kemasinan di kawasan kajian, sampel air dari lubang gerudi pada kedalaman 10-25 meter juga turut dibuat. Sampel air yang dipam dari lubang gerudi menunjukkan kepekatan klorida dalam julat 2030 hingga 13,000 mg/L manakala kepekatan pepejal terlarut berjulat 3233 hingga 9280 mg/L. Berdasarkan nilai kepekatan klorida dan pepejal terlarut sampel air lubang gerudi, kawasan di sekitar lubang gerudi khususnya pada jarak hampir 1 km dari pantai telah tercemar dengan kesan penerobosan air laut.
Related Terms
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links