Fosil radiolaria yang terawet dengan agak baik telah ditemui di dalam lapisan rijang yang tersingkap di km 38, lebuhraya Gua Musang-Cameron Highland, berdekatan dengan Pos Blau, baratdaya Kelantan, Semenanjung Malaysia. Sebanyak 20 spesies fosil radiolaria telah dikenal pasti. Spesies ini mewakili zon himpunanPseudoalbaillella globosa yang menunjukkan usia (Roadian) Awal Perm Tengah. Zon himpunan radiolaria ini merupakan rekod biostratigrafi yang baru untuk jujukan batuan bersilika di Pos Blau dan di dalam Zon Sutura Bentong-Raub.
Fosil radiolaria berusia Perm Awal telah ditemui daripada batuan silika-rijang di Pos Blau, baratdaya Kelantan,
Semenanjung Malaysia. Sebanyak empat puluh spesies radiolaria tergolong dalam lima belas genera dan tujuh famili
telah dikenal pasti. Fauna radiolaria yang diperoleh termasuklah spesies penunjuk usia seperti Pseudoalbaillella
lomentaria, Ps. sakmarensis, Ps. scalprata scalprata, Ps. scalprata postscalprata dan Ps. scalprata rhombothoracata.
Kesemua radiolaria ini mewakili usia Perm awal merujuk kepada Zon Himpunan Pseudoalbaillella lomentaria
(Sakmarian Awal) dan Zon Himpunan Pseudoalbaillella scalprata m. rhombothoracata (Sakmarian Akhir). Keputusan
ini dapat menambah baik maklumat biostratigrafi radiolaria dan usia batuan bersilika-rijang di kawasan Pos Blau
dan di dalam Zon Sutura Bentong-Raub.
Jujukan batuan sedimen Kapur Awal Kumpulan Gagau di kawasan sekitar hulu Sungai Chichir dibentuk oleh batu pasir
berpebel masif, batu lumpur masif dan lapisan tebal batu pasir dengan pelbagai struktur sedimen serta fosil. Jujukan ini
boleh dibahagikan kepada tujuh fasies dengan mekanisme pengenapan berbeza. Berdasarkan asosiasi antara pelbagai
fasies sedimen dapat ditafsirkan bahawa jujukan ini telah terenap dalam pelbagai sekitaran dataran aluvium termasuk
alur sungai utama, sungai berliku, sungai berburai dan dataran banjir. Fosil yang ditemui memberikan usia Kapur
Awal kepada jujukan ini. Bukti kehadiran tanah atas di kawasan ini mencerahkan harapan untuk penemuan pelbagai
fosil hidupan daratan, khususnya fauna vertebrat serta dinosaur yang lebih baik dan lengkap.