Salah satu dari strategi untuk memperkasakan petugas kesihatan di dalam menentang kesan pandemik COVID-19 ini adalah melalui latihan yang berkesan. Keselamatan dan ketidak laziman merupakan dua perkara pokok yang menyebabkan modul ini dihasilkan. Modul latihan ini dibentuk berdasarkan tiga strategi utama iaitu belajar dari pengalaman lalu, mereka-bentuk modul latihan yang khusus, dan mengenal kelemahan yang ada. Modul yang dihasilkan ialah pemakaian-penanggalan alat perlindungan kendiri (PPE), pengurusan salur pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari bagi pesakit yang disyaki COVID-19. Seramai 178 Perawat Kesihatan Barisan Hadapan (PKBH) telah dilatih. Setiap modul disertakan dengan senarai-semak yang mana peserta merasakan ianya sangat membantu. Tiada peserta yang jatuh sakit atau mengalami simptom setelah lebih dua minggu tamat latihan dan ini berkemungkinan hasil dari pelaksanan senarai semak persediaan pra-latihan yang ketat. Senarai semak pra-latihan ini mempunyai tujuh perkara penting iaitu ruang latihan, bilangan peserta, saringan COVID-19, pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan, PPE, dan pensanitasi peralatan sebelum dan selepas latihan. Latihan menggunakan senarai semak yang terarah didapati sangat membantu para petugas di dalam menguruskan situasi COVID-19. Kesimpulannya semasa menghadapai keadaan yang di luar kelaziman serta masa dan sumber yang terhad, latihan praktikal bersama senarai semak merupakan satu kaedah yang dapat membantu. Mengikuti langkah keselamatan pra-latihan yang betul juga boleh mengurangkan penyebaran penyakit ini.