Demodex sp. merupakan ektoparasit kulit dan dikenali sebagai tungau folikel yang selalu didapati pada manusia pada semua peringkat umur, kaum dan kumpulan geografi. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan prevalens infestasi Demodex sp. di kalangan orang dewasa berumur antara 20 hingga 29 tahun di kawasan Lembah Klang dan menentukan kaitan infestasi ektoparasit ini dengan jantina dan masalah jerawat. Kajian ini merupakan kajian pertama penentuan prevalens infestasi Demodex sp. di Malaysia. Seramai 350 orang subjek telah dikaji yang mana pemilihan sampel dilakukan secara pensampelan rawak berstrata. Pengambilan spesimen dilakukan secara kikisan kulit pada kawasan muka iaitu dahi, hidung, pipi dan dagu. Spesimen dititiskan dengan medium Hoyer dan pemerhatian dijalankan di bawah mikroskop cahaya. Borang soal selidik diedarkan untuk mengetahui kehadiran jerawat pada kulit muka. Hasil kajian mendapati prevalens keseluruhan infestasi Demodex sp. adalah 18.9% dan lelaki menunjukkan infestasi lebih tinggi (25.7%) berbanding perempuan (12.0%) manakala tiada perbezaan bermakna antara masalah jerawat dan infestasi Demodex sp. Kesimpulannya, infestasi Demodex sp. hadir di kalangan satu perlima dari subjek dengan lelaki didapati lebih bermasalah.
Ahmad Firdaus Mohd Salleh, Anita Talib, Mohamed Abdullah Marwi, Noor Hayati Mohd Isa, Syamsa Rizal Abdullah, Raja Muhammad Zuha Raja Kamal Bashah, et al.
Chrysomya megacephala (Fabricius) dan Chrysomya rufifacies (Macquart) adalah merupakan dua spesies lalat penting yang boleh dijadikan sebagai penunjuk terbaik untuk menganggarkan selang masa kematian atau Post Mortem Interval (PMI) untuk kegunaan dalam sains forensik. Penentuan PMI adalah berdasarkan kepada saiz dan peringkat perkembangan larva. Kajian perkembangan telur, larva dan pupa lalat Ch. megacepahala dan Ch. rufifacies dijalankan di bawah suhu 27ºC, 30ºC dan 33ºC di makmal dengan menggunakan kebuk pertumbuhann serangga. Data daripada kajian digunakan untuk menghasilkan satu graf pertumbuhan dan Jam Darjah Terkumpul (ADH) bagi kedua-dua spesies. Ch. megacephala mengambil masa selama 9.15 hari pada suhu 27ºC, 8.54 hari (30ºC) dan 6.76 hari (33ºC) untuk melengkapkan satu kitar hidup. Pada C. rufifacies pula, kitar hidupnya lebih lama berbanding Ch. megacephala iaitu 9.92 hari pada suhu 27ºC, 9.13 hari (30ºC) dan 7.44 hari (33ºC). Telur bagi kedua-dua spesies menetas lebih cepat pada suhu 33ºC berbanding dua suhu yang lainnya. Nilai ADH yang rendah pada sesuatu suhu, menunjukkan sesuatu spesies lebih cepat melengkapkan suatu kitar hidup. Penemuan ini berguna dalam menganggarkan selang masa kematian bagi mayat yang dijumpai pada suhu persekitaran yang berlainan.