Staphylococcus aureus tahan Methicillin (MRSA) adalah patogen yang mudah tersebar dan cenderung untuk menjadi multi-rintangan terhadap hampir semua terapi antibiotik yang terdapat di pasaran kini. Gal daripada Quercus infectoria atau lebih dikenali sebagai manjakani di Malaysia telah diketahui mempunyai aktiviti anti-bakteria. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji kesan kombinasi ekstrak gal daripada Q. infectoria dengan vankomisin terhadap lima strain MRSA dan dua strain Vancomycin-intermediate Staphylococcus aureus (VISA). Proses pengekstrakan dilakukan menggunakan pelarut aseton, metanol dan akues. Teknik mikro pencairan bersiri kaldu dijalankan menggunakan plat telaga 96 bagi menentukan nilai Minimum Inhibitory Concentration (MIC). Kesan interaksi di antara gal Q. infectoria dengan vankomisin dikaji menggunakan teknik checkerboard bagi mendapatkan nilai indek Fractional Inhibitory Concentration (FIC). Hasil kombinasi ekstrak gal dan vankomisin menunjukkan terdapat aktiviti yang sinergi pada ekstrak aseton terhadap MRSA ATCC 43300 (0.3124), Sa7 (0.3750) dan VISA U9495 (0.3750), manakala ekstrak akues terhadap MRSA Sa7 (0.4167) dan VISA U9495 (0.3958) dan N316 (0.5000). Sebaliknya kombinasi metanol dan vankomisin menunjukkan kesan yang sinergi terhadap ATCC 49476 (0.3750) sahaja manakala aditif terhadap enam lagi strain MRSA yang diuji. Kesan interaksi ini menunjukkan potensi dan kepentingannya dalam pembangunan dan modifikasi agen anti-MRSA.
Sembilan aktinomiset endofit telah berjaya dipencilkan daripada pokok yang mempunyai nilai ubatan dari beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Pencilan tersebut telah dikenalpasti melalui pemerhatian morfologi, amplifikasi gen 16S rRNA dan analisis penjujukan 16S rRNA. Saringan awal terhadap aktiviti antimikrob telah dilakukan dengan menggunakan teknik calitan plat. Pembentukan miselium substrat dan aerial, warna jisim spora, pigmen larut dan morfologi rantai spora pada semua pencilan menyerupai Streptomyces sp. dan Microbispora sp. Analisis filogenetik jujukan separa 16S rRNA mendapati pencilan SUK 08, SUK 10 dan SUK 15 saling berkaitan dengan Streptomyceseurythermus ATCC 14975T. Walau bagaimanapun pencilan ini telah dipencilkan dari tumbuhan yang berbeza. Pencilan ini didapati mempunyai aktiviti antimikrob terhadap bakteria dan kulat kajian. Empat pencilan aktif iaitu SUK 08, SUK10, SUK 12 dan SUK 15 berupaya untuk membunuh dan merencat sehingga 100% satu atau lebih organisma patogen seperti Bacillus subtilis, Aspergillus fumigatus, Aspergillus niger, Fusarium solani, Rhizoctonia solani dan Trichoderma viride. Kajian ini mengesahkan bahawa tumbuhan etnoperubatan adalah sumber pencarian aktinomiset endofit bioaktif yang berupaya menjadi sumber novel dalam pencarian agen antibakteria dan antimikotik.