Pengumpul suria hibrid fotovoltan-terma telah direka bentuk, dibina dan dikaji prestasinya. Kelebihan pengumpul ini adalah ianya mampu menjana tenaga elektrik dan tenaga haba secara serentak. Modul fotovoltan jenis SHARP NE-80E2EA dengan kuasa maksimum 80 W telah digunakan untuk menjana tenaga elektrik. Modul ini juga bertindak sebagai penyerap haba kepada pengumpul yang direka. Penyerap haba laluan tunggal, dengan lengkuk-∇ yang diperbuat daripada kepingan aluminium yang tebalnya 0.7 mm digunakan untuk mengumpulkan haba di belakang modul fotovoltan. Kajian telah dilakukan di bawah simulator suria dengan lampu halogen pada keamatan 386 ± 8 Wm-2 dan 817 ± 8 Wm-2. Kelajuan udara yang dialirkan dalam pengumpul PV/T adalah di antara (69.6 ± 2.2) × 10-4 kg/s hingga (695.8 ± 2.2) × 10-4 kg/s. Tujuan kajian ini adalah untuk membandingkan prestasi pengumpul PV/T dengan penyerap lengkuk-∇ dengan prestasi pengumpul PV/T tanpa penyerap lengkuk-∇. Kajian ini mendapati pengumpul suria PV/T dengan lengkuk-∇ mempunyai kecekapan yang lebih tinggi berbanding pengumpul tanpa lengkuk-∇. Kecekapan elektrik dan termanya juga meningkat dengan peningkatan keamatan sinaran dan kadar aliran udara.
Sistem pengering suria untuk pengeringan hasil pertanian dan laut telah direka bentuk, dibina dan diuji dalam suasana cuaca di Malaysia. Sistem pengeringan suria yang dibina, diuji untuk mengeringkan rumpai laut Gracilaria changii. Rumpai laut yang dikeringkan mempunyai kandungan air sekitar 95% asas berat basah untuk menghasilkan produk kering yang mempunyai kandungan air 10%. Proses pengeringannya mengambil masa selama kira-kira 7 jam, pada purata keamatan sinaran suria 593 W/m2 dan kadar aliran udara pengering 0.0613 kg/s. Pemadanan tiga model pengeringan telah dilakukan dengan data uji kaji pengeringan rumpai laut menggunakan sistem pengering suria pada suhu udara purata dalam kebuk 50oC dan purata kelembapan relatif udara 20%. Kejituan padanan model ditentukan berdasarkan nilai R2 yang paling tinggi, juga nilai MBE dan RMSE yang paling rendah. Kajian ini mendapati model pengeringan rumpai laut yang sesuai adalah model pengeringan Page dibandingkan dengan model pengeringan yang lain (model pengeringan Newton dan model Henderson dan Pabis).
Kajian ini bertujuan untuk mereka bentuk dan mengkaji prestasi pengumpul fotovoltan-terma (PV/T) dengan menggunakan
reka bentuk pengumpul terma aliran air secara pilin. Reka bentuk pengumpul terma aliran air secara pilin telah dibina
semula daripada reka bentuk penyelidik sebelum ini. Pengumpul terma ini menggunakan saiz tiub yang lebih besar dan
jarak antara tiub lebih dekat berbanding dengan reka bentuk penyelidik sebelum ini. Pengumpul PV/T ini telah diuji di
bawah tiga keamatan yang berbeza iaitu 300, 500 dan 700 W/m2 serta diuji pada kadar aliran jisim air yang berbeza
iaitu 0.01, 0.02 dan 0.04 kg/s. Pada keadaan yang sama, kecekapan fotovoltan, terma dan tergabung juga menunjukkan
nilai yang paling tinggi, iaitu 4.18%, 76.68% dan 80.86%. Kecekapan terma yang dihasilkan pada kajian ini lebih tinggi
dibandingkan dengan kajian sebelumnya.