Abstract

Pengumpul suria hibrid fotovoltan-terma telah direka bentuk, dibina dan dikaji prestasinya. Kelebihan pengumpul ini adalah ianya mampu menjana tenaga elektrik dan tenaga haba secara serentak. Modul fotovoltan jenis SHARP NE-80E2EA dengan kuasa maksimum 80 W telah digunakan untuk menjana tenaga elektrik. Modul ini juga bertindak sebagai penyerap haba kepada pengumpul yang direka. Penyerap haba laluan tunggal, dengan lengkuk-∇ yang diperbuat daripada kepingan aluminium yang tebalnya 0.7 mm digunakan untuk mengumpulkan haba di belakang modul fotovoltan. Kajian telah dilakukan di bawah simulator suria dengan lampu halogen pada keamatan 386 ± 8 Wm-2 dan 817 ± 8 Wm-2. Kelajuan udara yang dialirkan dalam pengumpul PV/T adalah di antara (69.6 ± 2.2) × 10-4 kg/s hingga (695.8 ± 2.2) × 10-4 kg/s. Tujuan kajian ini adalah untuk membandingkan prestasi pengumpul PV/T dengan penyerap lengkuk-∇ dengan prestasi pengumpul PV/T tanpa penyerap lengkuk-∇. Kajian ini mendapati pengumpul suria PV/T dengan lengkuk-∇ mempunyai kecekapan yang lebih tinggi berbanding pengumpul tanpa lengkuk-∇. Kecekapan elektrik dan termanya juga meningkat dengan peningkatan keamatan sinaran dan kadar aliran udara.