Sains Malaysiana, 2018;47:2231-2240.

Abstract

Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menerima kedatangan pesakit yang
ramai pada setiap hari menyebabkan jabatan ini kerap berdepan dengan masalah kesesakan. Justeru, objektif kajian ini
adalah mengenal pasti model pengoptimuman terbaik untuk menambahbaik sumber bagi meningkatkan tahap kecekapan
Jabatan Kecemasan PPUKM dan menyelesaikan masalah kesesakan jabatan. Kaedah simulasi digunakan bagi membina
model jabatan kecemasan dengan pemboleh ubah yang digunakan dalam pemodelan simulasi ini adalah dikhususkan
berdasarkan zon atau ruang rawatan. Alternatif penambahbaikan yang dicadangkan ini mengandungi konfigurasi bilangan
sumber jabatan yang baru. Enam model gabungan yang digunakan terdiri daripada Model CCR dan Set Rujukan, Model
BCC dan Set Rujukan, Model CCR dan Kecekapan-Super, Model BCC dan Kecekapan-Super, Model Bi-Objektif MCDEACCR dan Kecekapan Silang dan Model Bi-Objektif MCDEA-BCC dan Kecekapan Silang. Model Bi-Objektif MCDEA-BCC
merupakan lanjutan kepada Model Bi-Objektif MCDEA-CCR daripada kajian terdahulu. Keputusan kajian menunjukkan
Model Bi-Objektif MCDEA-BCC yang dibina telah memberikan bilangan alternatif penambahbaikan cekap yang paling
kecil berbanding model-model gabungan lain. Melalui model gabungan ini juga satu alternatif penambahbaikan yang
optimum yang telah dicadangkan dapat mengurangkan masa menunggu pesakit di Zon Hijau sebanyak 51% manakala
peratusan penggunaan tenaga kerja sumber berjaya ditambahbaik agar lebih munasabah. Alternatif ini memerlukan
susun atur kembali kedudukan sumber tanpa melakukan perubahan yang besar ke atas sistem asal.