Abstract

Penjadualan jururawat merupakan perkara penting dalam memastikan perkhidmatan yang berterusan dapat diberikan kepada para pesakit. Corak bertugas yang berterusan iaitu 24 jam sehari 7 hari seminggu, memerlukan waktu kerja mengikut syif yang boleh mengakibatkan perubahan kepada kehidupan sosial dan masalah kesihatan kepada jururawat. Oleh itu, pembangunan sebuah model penjadualan jururawat yang boleh diterima pakai oleh semua pihak dan bersifat adil amatlah penting untuk memastikan perkhidmatan berterusan yang berkualiti. Proses penjadualan melibatkan beberapa peraturan dan kekangan yang perlu dipertimbangkan, iaitu berdasarkan polisi yang telah ditentukan oleh pihak hospital dan permintaan daripada jururawat sendiri. Polisi atau objektif hospital antara lain adalah memastikan bilangan minimum jururawat setiap syif, mengelakkan pengasingan hari bertugas dan mempertimbangkan permintaan cuti daripada jururawat. Permintaan jururawat yang diambil kira pula adalah seperti mendapat bilangan hari bertugas yang sama per jadual, bilangan syif pagi yang melebihi syif petang dan memperolehi sekurang-kurangnya sekali cuti hujung minggu dalam tempoh jadual 2 minggu. Model dibangunkan menggunakan data daripada sebuah hospital tempatan. Kaedah pengaturcaraan gol 0-1 diaplikasikan di dalam pembangunan model penjadualan jururawat ini kerana keupayaannya menghasilkan sebuah model dengan pelbagai matlamat. Jadual kerja berkala ini akan dibina setiap 2 minggu. Daripada hasil penyelesaian yang diperoleh menggunakan perisian Lingo, didapati model penjadualan jururawat yang dibangunkan memenuhi polisi pihak hospital dan permintaan jururawat. Model penjadualan jururawat ini mampu memberikan penyelesaian yang lebih baik berbanding penjadualan semasa secara manual yang mana pengagihan syif adalah lebih sama rata di kalangan jururawat dari segi bilangan syif pagi, petang dan juga malam.