Affiliations 

  • 1 Universiti Sains Malaysia
MyJurnal

Abstract

Bencana tsunami ini sememangnya memberikan kesan terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial negara. Di antara negara-negara Asia Tenggara, Indonesia dikenal pasti sebagai salah sebuah negara yang sering menghadapi bencana tsunami. Malaysia yang kedudukannya berhampiran dengan Indonesia turut menerima kesan daripada bencana tsunami yang terjadi di negara berkenaan. Kejadian bencana tsunami yang sememangnya serius ini telah mendapat pelaporan yang meluas oleh media tempatan dan antarabangsa. Bencana tsunami yang lazimnya berlaku secara tiba-tiba dan sukar untuk dijangka ini telah menyebabkan pelaporannya berbeza dengan isu-isu lain seperti jenayah, hiburan dan sebagainya. Malah, kajian-kajian lalu turut mendapati bahawa media menghadapi pelbagai cabaran dalam melaporkan berita bencana seperti tsunami yang jelas memerlukan persediaan yang rapi bagi menghasilkan penulisan yang berkualiti dan beretika. Sungguhpun kejadian tsunami adalah serius, kajian-kajian lalu terhadap pelaporan media khususnya dalam aspek cabaran wartawan dalam melaporkan isu ini adalah amat terhad. Justeru, kajian ini dijalankan dengan matlamat untuk memenuhi kelompongan kajian lepas dan seterusnya menyumbang kepada korpus penyelidikan bidang Komunikasi Bencana di Malaysia dan Indonesia. Penyelidikan ini memberikan tumpuan terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para wartawan kedua-dua negara dalam melaporkan berita tsunami. Temu bual secara mendalam telah dilakukan bersama lapan orang wartawan dari The Star Online, Malaysia dan The Jakarta Post, Indonesia. Hasil kajian mendapati bahawa bilangan wartawan pakar isu terhad, pengetahuan terhad wartawan tentang bencana tsunami, kurang persediaan oleh bilik berita, pemotretan visual ketika bencana dan penentuan landskap berita oleh editor adalah cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh wartawan-wartawan di Malaysia dan Indonesia dalam melaporkan isu tsunami.