Kejadian kebakaran hutan yang memberikan implikasi negatif terhadap ekosistem hutan, kepelbagaian biologi, kualiti udara dan struktur tanah dapat dikurangkan melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan. Mekanisme pengurusan bencana dapat dibangunkan melalui sistem amaran awal yang tepat serta sistem penyampaian maklumat yang cekap. Penyelidikan ini cuba memberi tumpuan kepada pemetaan potensi kebakaran hutan serta penyampaian maklumat kepada
pengguna melalui aplikasi WebGIS. Teknologi georuang dan permodelan matematik digunakan bagi mengenal pasti, mengelas serta memetakan kawasan hutan yang berpotensi untuk terbakar. Permodelan model proses analitik hierarki (AHP) serta teknologi georuang yang merangkumi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan pengumpulan data lapangan secara digital telah digunakan untuk negeri Selangor. AHP adalah suatu teknik yang dapat memodel sesuatu
keputusan yang meliputi objektif menyeluruh, dalam kajian ini untuk mencari kawasan yang berpotensi berlakunya kebakaran hutan. Tiga kriteria iaitu bahan bakar, bentuk topografi dan faktor manusia telah dipilih untuk membina satu reka bentuk hierarki berstruktur yang setiapnya diberikan pemberat. Kemudian hierarki ini dianalisis melalui satu siri perbandingan berpasangan yang diproses secara matematik dan keutamaan diberikan kepada kedudukan yang tinggi untuk mencapai hasil sumbangan pakar yang terlibat secara langsung dengan operasi pemadaman kebakaran hutan
yang terdiri daripada pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga dinilai dalam model ini. Hasil kajian mendapati 65% daripada keseluruhan Selangor berpotensi rendah untuk terbakar sementara kawasan seluas 32.83 km persegi iaitu di Bestari Jaya, Ulu Tinggi dan Kuala Langat berpotensi melampau terbakar. Paparan maklumat melalui aplikasi WebGIS ini merupakan satu pendekatan terbaik bagi membantu proses membuat keputusan pada tahap keyakinan yang tinggi dan hampir menyamai keadaan sebenar. Agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana
seperti Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana (JPBB) Daerah, Negeri dan Pusat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dapat menggunakan hasil akhir kajian ini sebagai persediaan menghadapi ancaman kebakaran hutan pada masa akan datang.