Affiliations 

  • 1 Universiti Putra Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kerancakan IR 4.0 telah menjadikan teknologi internet sebagai saluran komunikasi dan carian maklumat utama kepada pengguna internet. Di sebalik pembangunan ini, pengguna dibelenggu dengan pelbagai masalah pasaran yang melibatkan produk dan perkhidmatan. Memandangkan golongan muda sering menjadi mangsa dalam pelbagai masalah pasaran, kajian terhadap mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia amatlah penting agar mereka dapat memahami dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengguna dengan baik melalui amalan kepenggunaan seharian. Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan profil mahasiswa IPT berkaitan amalan kepenggunaan agar tanggungjawab mereka sebagai pengguna dapat diperbaiki. Pemboleh ubah yang dikaji adalah faktor demografi iaitu jantina, umur, etnik, tahap pendidikan, bidang pengajian, tempoh menjadi ahli kelab pengguna, dan status keahlian di dalam kelab pengguna serta faktor tingkah laku iaitu amalan kepenggunaan. Kajian ini melibatkan seramai 800 mahasiswa IPT daripada sepuluh buah IPT yang dipilih secara persampelan rawak berperingkat. Penganalisisan data menggunakan analisis Ujian Khi Kuasa Dua dengan menggunakan perisian Statistical Package Social Sciences (SPSS). Hasil pemprofilan mendapati ciri responden yang perlu diberi penekanan dalam pendidikan pengguna ialah mereka daripada etnik Melayu dan Cina, yang masih bujang, dan mempunyai tahap pendidikan diploma dan ijazah sarjana muda tanpa mengira jantina, umur, asal, IPT, semester pengajian, bidang pengajian, dan keahlian dalam kelab pengguna. Kajian ini memberi implikasi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), persatuan pengguna, dan pihak institusi dalam meningkatkan program pendidikan pengguna melalui seminar kepenggunaan, penerbitan, edaran bahan berkaitan kepenggunaan, pertandingan serta penyampaian melalui media massa dan media sosial berpandukan ciri-ciri mahasiswa yang perlu diberi penekanan agar tahap amalan kepenggunaan mahasiswa IPT di Malaysia semakin kukuh pada masa akan datang.