Kajian ini dilakukan untuk menentukan hubungan antara motivasi membaca, persekitaran membaca di rumah dan sikap membaca dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia. Seramai 214 pelajar UPM yang dipilih melalui kaedah persampelan pelbagai peringkat terlibat dalam kajian ini. Satu set borang soal selidik yang diedar kepada responden mengandungi tiga instrumen iaitu Survey of Adolescent Reading Attitudes, Motivations for Reading Questionnaire (MRQ) dan Students’s Reading Environments at Home: Exposure and Support. Hasil kajian menunjukkan sikap membaca bahan bacaan digital dan bercetak pelajar UPM berada pada tahap tinggi. Selain itu, kajian mendapati motivasi membaca intrinsik dan ekstrinsik serta persekitaran membaca di rumah pelajar UPM berada pada tahap sederhana. Keputusan menunjukkan terdapat hubungan positif secara signifikan antara motivasi membaca intrinsik, motivasi ekstrinsik dan persekitaran membaca di rumah dengan sikap membaca bahan bacaan digital dan bercetak. Kesimpulannya, motivasi membaca dan persekitaran membaca di rumah mempunyai hubungan signifikan dengan sikap membaca dalam kalangan pelajar UPM. Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sikap membaca yang positif, pihak yang bertanggungjawab seperti ibu bapa terutamanya perlu mewujudkan persekitaran membaca yang kondusif di rumah agar dapat memupuk motivasi membaca dan sikap yang positif dalam kalangan anak-anak. Selain itu, pihak univerisiti dan pensyarah juga perlu mengambil langkah yang proaktif dalam mempromosi dan menggalakkan amalan membaca agar ia terus menjadi satu budaya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi.