Sains Malaysiana, 2007;36:213-223.

Abstract

Globalisasi dan dunia ICT masa kini telah meningkatkan lagi permintaan terhadap tenaga buruh yang berkualiti. Majikan pada hari ini sudah tidak lagi berpegang kepada persepsi bahawa pengetahuan akademik semata-mata adalah mencukupi malah mereka telah menyarankan agar institusi pengajian tinggi dapat melahirkan siswazah yang mempunyai kemahiran boleh-pindah yang tinggi demi meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Saranan sedemikian kian mendapat tempat memandangkan statistik kebelakangan ini menunjukkan pengangguran di kalangan siswazah adalah semakin meningkat di negara ini. Makalah ini membincangkan persepsi pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap atribut pekerjaan dari segi kepentingannya dan tahap kemahiran atau keupayaan mereka sendiri. Kajian ini merangkumi pelajar jurusan sains dan sastera. Tahap kepuasan pelajar dari aspek program pengajian dan pengalaman di universiti secara keseluruhan turut dinilai. Seramai 200 orang pelajar pra-siswazah tahun akhir telah dipilih secara pensampelan rawak berstratum dan data yang diperoleh diproses menggunakan kaedah-kaedah analisis min, ujian-t dan analisis varians. Keputusan analisis mendapati pelajar menilai tahap kepentingan kemahiran-kemahiran itu lebih tinggi daripada tahap kemahiran mereka sendiri dan terdapat perbezaan di antara tahap kemahiran daripada aspek jurusan, jantina, PNGK dan etnik. Pada keseluruhannya, pelajar didapati berpuas hati dengan program pengajian, pengalaman di universiti dan persediaan kerjaya masing-masing. Walau bagaimanapun, daripada hasil kajian ini terdapat beberapa aspek yang perlu diberi tumpuan terutamanya aspek sokongan dan bimbingan dari staf akademik dan pihak universiti dalam perancangan kerjaya pelajar serta penambaikan kemudahan pelajar.