Affiliations 

  • 1 Universiti Kuala Lumpur
  • 2 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kajian terdahulu menunjukkan kualiti hidup dapat ditingkatkan melalui amalan keagamaan dan kerohanian. Hafazan al-Quran merupakan amalan keagamaan dan kerohanian yang memperkasa aspek mental dan fizikal. Namun, kajian saintifik yang mengaitkan hafazan al-Quran dengan kualiti hidup masih terhad terutamanya dalam konteks pelajar tahfiz. Maka, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara hafazan al-Quran dengan kualiti hidup dalam kalangan pelajar tahfiz di Selangor, Malaysia. Satu kajian keratan rentas telah dijalankan ke atas 116 pelajar dengan pensampelan rawak berstrata dari tiga buah sekolah tahfiz di Selangor. Pelajar tahfiz dikategorikan kepada tiga tahap hafazan berdasarkan jumlah juzuk yang telah dihafaz iaitu Tahap 1 (1-10 juzuk), Tahap 2 (11-20 juzuk) dan Tahap 3 (21-30 juzuk). Borang soal selidik telah digunakan untuk mendapatkan data sosiodemografi dan borang soal selidik Short Form-36 Quality of Life (SF-36) versi Bahasa Malaysia telah digunakan untuk menilai tahap kualiti hidup. Data telah dianalisa menggunakan SPSS versi 23.0. Hasil kajian mendapati wujud hubungan positif yang signifikan antara hafazan al-Quran dengan kesihatan fizikal (r = 0.300, p < 0.05) dan kesihatan mental (r = 0.194, p < 0.05). Ini jelas menunjukkan bahawa semakin banyak pelajar menghafaz al-Quran semakin tinggi tahap kualiti hidup mereka. Faktor yang mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal adalah jumlah muka surat hafazan. Kesimpulannya, hafazan al-Quran berpotensi meningkatkan kualiti hidup serta kesihatan mental dan fizikal pelajar tahfiz.