Artikel ini meneliti desentralisasi kuasa dan hubungnya dengan penglibatan komuniti Iban dalam Skim
Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Bagi tujuan pengumpulan data kajian, kaedah temu bual
berstruktur menggunakan borang soal selidik telah dijalankan ke atas 260 Ketua Isi Rumah (KIR)
rumah panjang di Daerah Song, Sarawak. Penemuan kajian menunjukkan desentralisasi kuasa dalam
program di bawah SPKR berada pada tahap sederhana. Analisis Ujian Khi Kuasa Dua pula
menunjukkan terdapat perhubungan yang signifikan (p ≤ 0.05) antara tahap desentralisasi kuasa dengan
penglibatan masyarakat Iban dalam pelaksanaan dan penilaian program di bawah SPKR. Ini
menggambarkan semakin tinggi tahap desentralisasi kuasa yang diterima oleh masyarakat, maka
semakin tinggi tahap penglibatan mereka dalam aktiviti pelaksanaan dan penilaian program di bawah
skim tersebut. Sebaliknya, perhubungan tersebut adalah tidak signifikan (p ≥ 0.05) dari segi tahap
penglibatan dalam membuat keputusan dan berkongsi manfaat daripada program di bawah SPKR.