Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Penanda kadar pusing ganti tulang (PPT) adalah berguna dalam penilaian status kesihatan tulang. Namun, pengaruh umur, kumpulan etnik dan antropometri badan terhadap aras PPT dalam kalangan lelaki masih belum jelas. Kajian ini bertujuan untuk menentukan pengaruh faktor-faktor tersebut terhadap aras PPT, iaitu aras osteokalsin (OC) dan telopeptida terminal-C kolagen jenis 1 (CTX-1) dalam kalangan lelaki Cina dan Melayu berumur 20 tahun dan ke atas (N = 407) di Lembah Klang. Subjek dikumpulkan melalui kaedah persampelan bertujuan. Ketinggian, berat badan dan indeks jisim badan subjek telah diukur. Darah mereka diambil pada waktu pagi untuk analisis aras OC dan CTX-1 serum dengan asai imunoserap terangkai enzim. Hasil kajian menunjukkan aras OC dan CTX-1 adalah lebih tinggi secara signifi kan dalam kalangan lelaki Melayu berbanding dengan lelaki Cina (p < 0.05). Aras OC dan CTX-1 adalah paling tinggi dalam kalangan lelaki berumur 20-29 tahun, dan kemudiannya menurun secara signifi kan berbanding dengan dekad sebelumnya dalam kalangan lelaki berumur 30-39 tahun (p < 0.005). Perbezaan aras kedua-dua PPT ini adalah tidak signifi kan di antara lelaki berusia 30-39 tahun dengan lelaki yang lebih tua (> 40 tahun dan ke atas) (p > 0.005). Aras OC berkorelasi secara signifi kan dan negatif dengan berat dan indeks jisim tubuh subjek dan korelasi ini adalah signifi kan untuk lelaki 20-39 tahun sahaja (p < 0.05). Aras CTX-1 tidak berkorelasi dengan antropometri badan subjek (p > 0.05). Secara kesimpulannya, aras PPT dalam kalangan lelaki di Malaysia boleh dipengaruhi oleh faktor umur, kumpulan etnik dan antropometri badan. Faktor-faktor ini seharusnya diambil kira dalam penilaian status kesihatan tulang lelaki berdasarkan aras PPT.