Kajian ini dijalankan untuk membentuk formula demi menganggar ketinggian tubuh badan dan menentukan jantina dengan menggunakan panjang dan lebar kaki. Seramai 150 orang subjek yang berumur 20-30 tahun diambil dari Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UKMKKL). Subjek tersebut adalah Melayu (45 lelaki dan 45 perempuan) dan Cina (30 lelaki dan 30 perempuan). Ketinggian, panjang dan lebar kaki diukur menggunakan alatan antropometrik dalam ukuran milimeter. Hasil statistik menunjukkan bahawa pelbagai ukuran kaki kanan dan kiri tidak mempunyai perbezaan yang signifikan (Panjang kaki/FL: t(298) = -0.235, p = 0.815; Lebar kaki/FW: t(298) = 0.932, p = 0.352). Perbezaan yang signifikan pada semua ukuran pula dapat dilihat pada jantina (Tinggi/S: t(148) = 12.550, p < 0.05; FL:t(148) = 11.692, p < 0.05; FW:t(148) = 8.321, p < 0.05). Bagi kaum, ketinggian tubuh badan kaum Cina adalah lebih tinggi berbanding kaum Melayu secara signifikan (t(148) = -3.103, p < 0.05) tetapi tiada perbezaan yang signifikan diperhatikan pada ukuran kaki (FL: t(148) = 0.002, p = 0.999; FW:t(148) = 1.362, p = 0.175). Korelasi yang paling tinggi telah ditunjukkan antara ketinggian tubuh badan dengan panjang kaki pada semua kumpulan. Analisis Regresi Garis Lurus dan Regresi Berganda telah digunakan untuk membentuk formula menganggar ketinggian tubuh badan. Walau bagaimanapun, didapati formula yang dibentuk dari Regresi Berganda adalah lebih tepat kerana kombinasi panjang dan lebar kaki menghasilkan korelasi koefisen yang lebih tinggi dalam semua formula (S = 585.298+(4.898xFL)-(1.453xFW), F(2,149 = 149.324, p < 0.01, R2 = 0.670). Formula untuk penentuan jantina juga telah dibina menggunakan Analisis Pokok Klasifikasi. Keputusan menunjukkan ketepatan untuk menentukan jantina seseorang adalah di antara 86.3-87.5% bagi perempuan dan 85.2-85.7% bagi lelaki dengan menggunakan panjang kaki manakala di antara 68.4-76.8% bagi perempuan dan 77.8-81.0% bagi lelaki dengan menggunakan lebar kaki.