Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
  • 2 University of Malaya
  • 3 Universiti Putra Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kehilangan jisim tulang adalah lebih ketara selepas menopaus. Jangka masa menopaus dan umur yang meningkat dikaitkan dengan penurunan jisim tubuh tanpa lemak, peningkatan lemak badan dan peningkatan berat badan. Kajian ini melihat sumbangan relatif jisim tubuh tanpa lemak dan lemak badan ke atas ketumpatan mineral tulang (KMT) di kalangan 139 wanita Cina posmenopaus sihat di Kuala Lumpur. KMT di kawasan seluruh tubuh, tulang belakang ( L2-L4), leher femur dan keseluruhan tulang pinggul diukur dengan alat dual-energy X-ray absorptiometry (DxA). Hasil kajian mendapati 80% daripada wanita posmenopaus Cina mempunyai jisim tulang yang rendah (osteopenia) manakala 8% daripada mereka mengalami osteoporosis di bahagian tulang belakang atau tulang pinggul. Secara keseluruhan, lemak badan mempunyai korelasi yang positif dengan KMT di semua bahagian diukur (keseluruhan tubuh, r = 0.265, p < 0.001; tulang belakang r = 0.214, p < 0.05, leher femur, r = 0.254, p < 0.001; keseluruhan tulang pinggul r = 0.332, p < 0.001). Jisim tubuh tanpa lemak juga mempunyai korelasi yang positif dengan KMT kebanyakan kawasan diukur (keseluruhan tubuh, r = 0.239, p < 0.001; leher femur r = 0.365, p < 0.001; keseluruhan tulang pinggul r = 0.352, p < 0.001) kecuali tulang belakang. Analisis regresi menunjukkan lemak badan dapat meramal KMT pada keseluruhan badan (p < 0.0001) dan tulang belakang (p < 0.005) manakala jisim tubuh tanpa lemak dapat meramal KMT pada tulang femur dan tulang pinggul (p < 0.0001). Hasil kajian menunjukkan kedua-dua lemak tubuh dan jisim tubuh tanpa lemak memainkan peranan dalam mempengaruhi KMT, di mana lemak badan memainkan peranan yang lebih di kalangan wanita posmenopaus. Oleh itu, wanita posmenopaus perlu elakkan mempunyai berat badan yang terlalu rendah (kurang lemak badan) dan mengekalkan jisim tubuh tanpa lemak untuk mencegah osteoporosis.