Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Centre
Medicine & Health, 2020;15(1):70-77.
MyJurnal

Abstract

Pengukuran ketumpatan mineral tulang oleh 'Dual-energy X-ray Absorptiometry' (DXA) adalah penting untuk mengenalpasti osteoporosis. Ralat ketepatan DXA adalah ukuran yang penting untuk menentukan perubahan sebenar dalam nilai ketumpatan mineral tulang. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pekali variasi jangka pendek mesin QDR Wi DXA Discovery Hologic. Ketumpatan mineral tulang pinggul dan tulang belakang untuk lima belas sukarelawan (purata umur: 30.67 + 10.41 tahun) dan ketumpatan tulang keseluruhan badan untuk lima belas ekor tikus Sprague-Dawley betina (berusia tiga bulan) diimbas menggunakan mesin HDR Discover QDR Wi DXA. Setiap sukarelawan dan tikus menjalani imbasan sebanyak tiga kali untuk menilai kebolehulangan nilai ketumpatan tulang. Imbasan untuk subjek manusia dilakukan dalam tempoh 1 hingga 12 minggu. Untuk sampel haiwan, imbasan diulang pada hari yang sama selepas posisi semula. Ralat kepersisan dinyatakan sebagai peratusan pekali variasi (%CV). %CV diperolehi untuk tulang belakang lumbar adalah 1.8% dan 1.2% untuk tulang pinggul. %CV untuk keseluruhan BMD tikus adalah 1.4%. %CV jangka pendek yang ditunjukkan untuk kedua-dua manusia dan haiwan dalam kajian ini adalah setanding. Ralat kepersisan DXA mesti dipantau untuk memastikan prestasi yang optimum.