Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kajian berbentuk hirisan lintang ini dijalankan untuk mengkaji hubungan antara keterlibatan aktiviti di kolej kediaman dengan status pemakanan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur dan menentukan tabiat makan pelajar serta kebolehdapatan makanan sihat di sekitar mereka. Seramai 106 pelajar tahun dua hingga empat UKM Kuala Lumpur terlibat dalam kajian ini (20.8% lelaki dan 79.2% perempuan). Data pengambilan makanan subjek direkod dengan menggunakan diari makanan tiga hari. Keterlibatan subjek dalam aktiviti kolej dan juga kebolehdapatan makanan sihat ditentukan dengan menggunakan borang soal selidik yang dibentuk khas untuk kajian ini. Berat badan, ketinggian, ukurlilit pinggang, peratus lemak tubuh dan Indeks Jisim Tubuh (IJT) juga diukur. Hasil kajian menunjukkan majoriti daripada subjek (62.3%) terlibat secara aktif dengan aktiviti yang diadakan di kolej kediaman. Daripada peratusan ini, 5.3% daripada subjek lelaki dan 31.9% perempuan adalah kurang berat badan. 68.4% subjek lelaki dan 55.3% perempuan mempunyai berat badan normal. 21% subjek lelaki dan 8.5% perempuan adalah pra obes. Tambahan pula, 5.3% (n = 1) subjek lelaki dan 4.3% (n = 2) daripada subjek perempuan tergolong dalam klasifi kasi IJT obes. Kajian ini mendapati majoriti subjek bersetuju bahawa mudah untuk memperolehi makanan sihat di kampus. Terdapat korelasi positif yang signifi kan di antara pengambilan tenaga (r = 0.352, p < 0.05) dan lemak (r = 0.391, p < 0.05) dengan Indeks Jisim Tubuh (IJT) bagi penglibatan terhadap aktiviti kolej yang kurang daripada tiga jam. Bagi penglibatan terhadap aktiviti kolej yang lebih daripada tiga jam pula, terdapat korelasi positif yang signifi kan di antara pengambilan tenaga (r = 0.678, p < 0.01), lemak (r = 0.550, p < 0.05), karbohidrat (r = 0.685, p < 0.01), protein (r = 0.465, p < 0.05), kalsium (r = 0.357, p < 0.05), ferum (r = 0.500, p < 0.05), vitamin A (r = 0.733, p < 0.01) dan vitamin E (r = 0.582, p < 0.05) dengan IJT. Pencapaian ‘Recommended Nutrient Intake’ (RNI) bagi pengambilan tenaga, kalsium, ribofl avin, vitamin C dan vitamin E adalah lebih tinggi bagi subjek yang terlibat dengan aktiviti kolej kurang daripada tiga jam berbanding dengan subjek yang terlibat dengan aktiviti kolej lebih daripada tiga jam. Kesimpulannya, walaupun ramai subjek yang aktif, masih terdapat dalam kalangan mereka yang mengalami masalah kurang berat badan, lebih berat badan dan obes. Oleh yang demikian, penglibatan dalam aktiviti di kolej kediaman memberi kesan kepada status pemakanan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.