Media pendidikan bercetak merupakan saluran komunikasi yang utama dalam pendidikan kesihatan awam. Namun, kajian tempatan yang menilai penerimaan media pendidikan bercetak masih terhad di Malaysia. Maka, kajian ini dilakukan untuk menilai media pendidikan bercetak sedia ada yang mensasarkan obesiti di kalangan kanak-kanak untuk kegunaan dalam program pendidikan atau promosi pemakanan. Kajian ini melibatkan dua peringkat. Peringkat pertama merupakan tinjauan keperluan iaitu tinjauan terhadap media pendidikan bercetak sedia ada yang mensasarkan kanak kanak yang mengalami masalah berlebihan berat badan dan obes dan kajian rintis terhadap borang soal selidik yang dibentuk. Manakala peringkat kedua adalah penilaian penerimaan subjek kajian terhadap media pendidikan bercetak dan perubahan tahap pengetahuan mereka selepas membaca media pendidikan bercetak yang diberikan. Skala Likertn digunakan dalam penilaian ini iaitu daripada 1 (sangat tidak memuaskan) hingga 5 (sangat memuaskan). Jumlah subjek dalam kajian ini adalah seramai 67 orang yang terdiri daripada golongan profesional dalam bidang pendidikan dan kesihatan (n = 7), subjek dewasa (n = 30) dan subjek kanak-kanak (n = 30). Di dalam kajian ini, subjek dewasa diberi satu buku kecil yang mengandungi maklumat berkenaan pencegahan dan pengurusan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak seperti komplikasi masalah obesiti dan penyediaan makanan. Subjek kanak-kanak pula menerima satu buku kecil yang mengandungi maklumat berkenaan piramid makanan, kepentingan sarapan, aktiviti fi zikal dan sebagainya di samping satu poster yang mengandungi maklumat berkenaan pemilihan makanan sihat. Manakala golongan profesional menerima semua media pendidikan bercetak ini. Kajian ini mendapati penerimaan subjek terhadap isi kandungan, gambar, jadual dan rajah, warna, susun atur gambar, susun atur kandungan, bahasa dan saiz huruf bagi ketiga-tiga media pendidikan bercetak adalah pelbagai, iaitu daripada sangat tidak memuaskan hingga sangat memuaskan. Min skor penilaian keseluruhan terhadap buku kecil yang mensasarkan populasi dewasa adalah 3.9 ± 0.5 manakala min skor penilaian keseluruhan terhadap buku kecil yang mensasarkan populasi kanak-kanak adalah 4.3 ± 0.4 dan poster adalah 3.9 ± 0.9. Skor pengetahuan pemakanan golongan profesional meningkat dari 88.6 ± 11.2% kepada 95.5 ± 3.2% selepas membaca media tersebut. Skor pengetahuan pemakanan subjek dewasa juga meningkat secara signifi kan (p < 0.001)daripada 67.7 ± 13.6% kepada 84.8 ± 15.9%; bagi subjek kanak-kanak, skor pengetahuan pemakanan juga meningkat secara signifi kan (p < 0.001) daripada 65.3 ± 14.4% kepada 84.0 ± 11.4%. Kesimpulannya, media pendidikan bercetak sedia ada mendapat penerimaan yang baik dan dapat meningkatkan tahap pengetahuan kumpulan sasaran. Oleh itu, media pendidikan bercetak tersebut sesuai digunakan dalam mana-mana program pendidikan pemakanan yang berkaitan dengan obesiti kanak-kanak.