Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Skala perkembangan kanak-kanak barat seringkali digunakan di Malaysia sebagai panduan utama ibu bapa dan golongan profesional dalam memantau perkembangan kanak-kanak kerana kurangnya data rujukan yang dilaporkan serta wujud anggapan bahawa perkembangan kanak-kanak di Malaysia setara dengan perkembangan kanak-kanak di negara Barat. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian-kajian lepas timbul keraguan mengenai kesesuaian skala perkembangan kanak-kanak barat menilai perkembangan komunikasi kanak-kanak di Malaysia. Oleh itu, kajian rintis ini bertujuan untuk membentuk data rujukan yang boleh dijadikan panduan bagi menilai perkembangan komunikasi kanak-kanak tahap bertatih di Malaysia. Kajian ini melibatkan pengadaptasian The Integrated Scales of Development (Cochlear Ltd. 2003) bagi kanak-kanak bertatih yang berusia 16 hingga 30 bulan yang terbahagi kepada tiga subskala berdasarkan umur iaitu subskala 16 hingga 18 bulan, 19 hingga 24 bulan dan 25 hingga 30 bulan. Penilaian kesahan dan kebolehpercayaan telah dilakukan ke atas skala yang diadaptasi. Berdasarkan penilaian kesahan, dua item telah digugurkan daripada subskala 16-18 bulan dan lapan item digugurkan daripada setiap subskala 19-24 bulan dan subskala 25-30 bulan. Ujian kebolehpercayaan alfa Cronbach telah dilakukan dan didapati hanya subskala 16-18 bulan mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi (a = 0.872), manakala kedua-dua subskala 19-24 bulan dan subskala 25-30 bulan mempunyai kebolehpercayaan yang rendah (a = 0.626 dan a = 0.628) masing-masing. Secara keseluruhannya, hasil adaptasi skala ini sesuai digunakan sebagai panduan bagi memantau perkembangan komunikasi kanak-kanak dan bukannya sebagai alat penilaian yang utama.