Garis panduan saringan telinga tengah oleh American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) telah menyarankan agar pendekatan kuantitatif digunakan untuk menginterpretasi keputusan timpanogram. Berbanding pendekatan kualitatif yang digunapakai untuk menginterpretasi timpanogram sebelum ini, pendekatan kuantitatif adalah lebih sesuai kerana ianya bersifat objektif serta dapat diaplikasi dengan peralatan timpanometer komersial yang terdapat di pasaran sekarang. Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan nilai mutlak ciri timpanometri iaitu puncak statik admitan akustik dikompensasi (Puncak Ytm), kelebaran timpanogram (TW) dan isipadu salur telinga luar (Vea) di kalangan kanak-kanak pra-sekolah normal dan Sindrom Down. Lima belas kanak-kanak normal dan 12 kanak-kanak Sindrom Down yang memenuhi kriteria pemilihan subjek terlibat di dalam kajian ini. Nilai purata Puncak Ytm dan Vea bagi kanak-kanak normal masing-masing adalah 0.36 mmho dan 0.57 cm3 manakala kanak-kanak Sindrom Down mencatat nilai purata 0.14 mmho dan 0.38 cm3. Kanak-kanak normal dan Sindrom Down masingmasing mencatatkan nilai purata TW 99.73 dan 148.65 daPa. Analisis statistik menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara kedua-dua kumpulan subjek bagi ketiga-tiga nilai parameter timpanometri yang diperolehi.