Sains Malaysiana, 2017;46:2523-2528.

Abstract

Peramalan bahan kepekatan ozon (O3) adalah sangat penting kerana udara yang mengandungi O3 boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik seperti kanser dan asma. Kajian ini merupakan kajian rintis dengan menggunakan pendekaan kalut bagi meramal kepekatan O3 di kawasan pendidikan di Malaysia. Data yang dikaji merupakan siri masa O3 yang dicerap mengikut jam di stesen yang terletak di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Sebelum model peramalan dibina, siri masa diuji terlebih dahulu untuk mengenal pasti sama ada dinamik kalut hadir ataupun tidak. Pendekatan kalut mempunyai dua langkah iaitu pembinaan semula ruang fasa dan proses peramalan. Pembinaan semula ruang fasa memerlukan penetapan dua parameter terlebih dahulu iaitu masa tunda τ dan matra pembenaman m. Kedua-dua parameter tersebut masing-masing diperoleh daripada kaedah purata maklumat bersama dan kaedah Cao. Melalui plot ruang fasa dan kaedah Cao, sifat kalut didapati hadir dalam siri masa O3. Oleh itu, model peramalan melalui pendekatan kalut menggunakan kaedah penghampiran purata setempat dibina. Pendekatan kalut ini merupakan salah satu kaedah alternatif yang boleh digunakan untuk meramal siri masa O3. Pekali korelasi adalah dipilih sebagai petunjuk prestasi bagi memberi gambaran tentang kekuatan hubungan antara nilai sebenar dengan nilai peramalan. Nilai pekali korelasi bagi siri masa O3 ketika Monsun Timur Laut adalah 0.8921. Manakala, nilai pekali korelasi ketika Monsun Barat Daya adalah 0.9002. Diharap dengan pendekatan kalut ini dapat membantu pihak bertanggungjawab untuk mengawal pencemaran O3 di kawasan pendidikan di Malaysia.