Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
Movement Health & Exercise, 2018;7(1):129-143.
MyJurnal

Abstract

Perkembangan motor kasar merupakan asas kepada pergerakan lanjutan dan
kemahiran spesifik dalam sukan. Kajian ini merupakan satu kajian
eksperimental yang bertujuan mengkaji tahap perkembangan motor kasar
dikalangan kanak-kanak di daerah Kuala Pilah. Antara objektif kajian ini
adalah untuk mengenal pasti tahap pengusaan kemahiran lokomotor dan
kawalan objek dalam kalangan kanak-kanak di daerah tersebut, mengenal
pasti perbezaan perkembangan motor kasar dalam kalangan kanak-kanak
tersebut berdasarkan jantina dan mengenal pasti perbezaan perkembangan
motor kasar dalam kalangan kanak-kanak tersebut berdasarkan lokasi sekolah
iaitu bandar dan luar bandar. Kajian ini penting kerana perkembangan dan
penguasaan motor kasar di kalangan kanak-kanak adalah amat penting bagi
penglibatan sukan, permainan dan aktiviti rekreasi. Kegagalan penguasaan
kemahiran motor memberikan kesan ke atas kanak-kanak dalam konteks
pergaulan harian, keyakinan diri dan masalah pembelajaran. Kajian ini
melibatkan seramai 160 orang kanak -kanak yang berumur 7 tahun mewakili
8 buah sekolah rendah yang dipilih berdasarkan persampelan bertujuan. Data
dikumpul berdasarkan pemerhatian berstruktur terhadap ke semua sampel
semasa menjalani ujian TGMD (Test of Gross Motor Develepment) dan
diinterpretasi menggunakan nilai GMQ (Gross Motor Quotients) Hasil
analisis data mendapati tahap perkembangan kemahiran lokomotor dan
kawalan objek kanak-kanak di daerah Kuala Pilah adalah majoritinya ditahap
purata dengan 85.6 % berada ditahap sekurang-kurangnya purata dan ke
bawah. Dapatan Ujian-t menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang
signifikan antara jantina dalam perkembangaan motor kasar kanak-kanak di
Daerah Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang
signifikan antara kanak-kanak daripada sekolah bandar dan luar bandar dalam
perkembangaan motor kasar.