Affiliations 

  • 1 Universiti Sains Malaysia
MyJurnal

Abstract

Perkembangan industri permotoran telah menyebabkan pencemaran udara yang menjadi faktor kepada peningkatan simptom masalah respiratori dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah. Kajian ini mengkaji perkaitan antara peningkatan simptom masalah kesihatan respiratori dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah dengan pendedahan terhadap pencemaran udara akibat lalu lintas. Kajian school-based jenis keratan lintang telah dilakukan di dua buah sekolah di daerah Kota Bharu, Kelantan iaitu Sekolah Kebangsaan Langgar dan Sekolah Kebangsaan Demit dengan melibatkan pelajar berumur 10, 11 dan 12 tahun. Saiz sampel seramai 124 orang (n = 124) dipilih menggunakan corak persampelan kebarangkalian iaitu persampelan rawak mudah. Responden disoal menggunakan instrumen yang telah disahihkan dan diadaptasi dari International Study of Asthma and Allergies in Childhood (ISAAC). Analisis data dilakukan dengan menggunakan Statistical Package For Social Sciences (SPSS). Hasil kajian menunjukkan peningkatan simptom masalah respiratori yang dihadapi oleh pelajar di dua buah sekolah rendah di Kota Bharu adalah berkait rapat dengan pencemaran udara yang berpunca dari lalu lintas dengan p < 0.05. Kajian mendapati pendedahan kepada bahan pencemar udara yang berpunca dari lalu lintas telah meningkatkan simptom masalah respiratori dalam kalangan kanak-kanak sekolah di rendah lokasi kajian.