Affiliations 

  • 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang
  • 2 Institut Perguruan Tuanku Bainun
  • 3 Universiti Pendidikan Sultan Idris
MyJurnal

Abstract

Kecergasan fizikal adalah kebolehan tubuh badan untuk berfungsi secara efisien dan efektif, menikmati masa kesenggangan untuk sihat, menghindari penyakit, dan untuk bertindak balas ketika keadaan kecemasan. Aktiviti fizikal berkait rapat dengan tahap kecergasan fizikal seseorang. Aktiviti fizikal adalah pergerakan badan yang dihasilkan oleh rangka otot yang akan mengakibatkan pengeluaran tenaga. Kualiti kehidupan bagi rakyat di Malaysia dipercayai akan memberi kesan terhadap pertumbuhan pembangunan fizikal di sesebuah tempat tersebut. Kawasan bandar ialah kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk seramai 10,000 orang atau lebih semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2000. Kawasan selainnya yang diwartakan dan mempunyai jumlah penduduk kurang daripada 10,000 orang serta kawasan yang tidak diwartakan, dikelaskan sebagai luar bandar. Perbezaan kawasan tempat tinggal di kawasan yang dibezakan oleh saiz penduduk boleh dikaitkan dengan perbezaan dalam tabiat makan, akses untuk ke tempat kemudahan sukan dan peluang untuk aktiviti fizikal, dan lain-lain lagi. Pendedahan-pendedahan ini terhadap alam sekitar juga mungkin menentukan gaya kehidupan serta risiko terhadap kardiovaskular dan ia mungkin dikaitkan dengan tahap kecergasan. Justeru, kajian ulasan ini dijalankan untuk mengenalpasti faktor yang mempengaruhi tahap kecergasan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di kawasan bandar dan luar bandar.