Ujian teks bacaan Bahasa Melayu telah dibangunkan untuk menilai prestasi membaca kanak-kanak sekolah rendah.
Seramai 120 pelajar Tahap 1 (purata umur 8.5 ± 0.5 tahun) dan Tahap 2 (purata umur 10.5 ± 0.5 tahun) berpenglihatan
normal telah dipilih secara rawak. Subjek diminta membaca lima teks bacaan secara rawak dengan kuat. Masa selesai
membaca setiap teks bacaan diukur dan sebarang kesalahan menyebut perkataan direkodkan. Purata kelajuan membaca
dan kadar membaca diukur sebagai perkataan per minit (ppm). Kelajuan membaca Tahap 1 adalah 88.81 ± 1.95 {ralat
piawai (RP)} ppm dan kadar membaca pula adalah 87.20 ± 1.98 (RP) ppm. Bagi Tahap 2, kelajuan membaca adalah
108.12 ± 1.66 (RP) ppm manakala kadar membaca adalah 107.22 ± 1.67 (RP) ppm. Kelajuan dan kadar membaca di
antara subjek bagi setiap teks bacaan menunjukkan tiada perbezaan yang signifi kan (p > 0.05) dengan nilai p bagi
kedua-duanya adalah 0.91 manakala bagi tahap 2 pula nilai p adalah 0.57. Perbandingan di antara teks bacaan juga
menunjukkan tiada perbezaan yang signifi kan (p > 0.05). Semua teks bacaan adalah homogen secara statistik maka teks
bacaan yang dibangunkan boleh dipilih secara rawak semasa ujian dan tidak akan memberi kesan kepada penilaian
prestasi membaca di kalangan kanak-kanak sekolah rendah.