Lemah konvergens (CI) adalah anomali penglihatan binokular yang melibatkan kesukaran dua mata menumpu semasa penglihatan dekat. Kajian ini mengkaji prestasi penglihatan binokular subjek CI. Prestasi binokular iaitu, akuiti penglihatan (VA) binokular jauh, VA binokular dekat dan stereoakuiti dibandingkan antara subjek CI dengan subjek normal. Seramai 30 subjek CI purata umur 17.33 ± 5.49 tahun dan 30 subjek normal purata umur 18.77 ± 6.08 tahun mempunyai VA 6/6 atau lebih baik, ralat refraksi sfera tidak melebihi ± 4.00 DS, astigmatisme tidak lebih daripada 2.00 DC, tiada juling dan tidak pernah menjalani terapi penglihatan, mempunyai kesihatan am dan kesihatan okular yang baik mengambil bahagian dalam kajian ini. VA monokular mata kanan, VA monokular mata kiri, VA binokular dan stereoakuiti dua kumpulan subjek diukur dan dibandingkan. Keputusan kajian mendapati perbezaan yang signifikan bagi VA binokular jauh (t = 2.31, p < 0.05), VA binokular dekat (t = 0.89, p < 0.05) dan stereoakuiti (Z = -2.81, p < 0.01) antara subjek CI dengan subjek normal. Kesimpulan kajian menunjukkan subjek kumpulan CI mengalami penurunan prestasi penglihatan binokular jauh, prestasi penglihatan binokular dekat dan stereoakuiti yang signifikan lebih rendah berbanding kumpulan normal.