Penilaian status visual kanak-kanak prasekolah adalah penting kerana ia adalah salah satu faktor yang menentukan ketersediaan mereka untuk bersekolah. Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak prasekolah mendapat peluang untuk mengikuti program saringan penglihatan. Dalam kajian ini, akuiti visual jauh dan dekat serta tahap stereoakuiti diukur di kalangan kanak-kanak berumur enam tahun (n=385). Parameter tersebut kemudiannya dibandingkan di antara kanak-kanak prasekolah swasta bandar dan prasekolah KEMAS daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar. Tujuh peratus kanak-kanak prasekolah KEMAS adalah gagal dalam ujian saringan penglihatan jauh berbanding dengan 6% kanak-kanak prasekolah swasta. Untuk ujian penglihatan dekat, kadar kegagalan adalah masing-masing 8.7% dan 4.9% bagi kanak-kanak prasekolah swasta dan KEMAS masing-masing. Untuk ujian stereoakuiti, seramai 3.3% kanak-kanak prasekolah swasta dan 2.5% kanak-kanak prasekolah KEMAS dikategorikan sebagai lemah stereopsis. Semua perbezaan tersebut adalah tidak signifikan secara statistik (semua p>0.05). Peratusan kanak-kanak yang gagal ujian saringan penglihatan adalah serupa untuk kedua-dua jenis prasekolah. Oleh itu, program saringan penglihatan perlu dijalankan di semua jenis prasekolah untuk memastikan sebarang masalah penglihatan dapat dikesan, didiagnos, dirawat dan dicegah.