Sains Malaysiana, 2013;42:1181-1190.

Abstract

Kajian pengetahuan pemakanan dalam kalangan pelbagai kumpulan populasi kerap dilaporkan tetapi kajian berkaitan dalam kalangan tentera jarang dilaporkan. Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan tahap pengetahuan pemakanan dan amalan penggunaan suplemen dalam kalangan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Sejumlah 909 anggota TLDM berpangkalan di Lumut, Kuantan dan Johor terlibat dalam kajian ini. Soal selidik digunakan bagi menentukan latar belakang, ciri-ciri sosio demografi, pengetahuan pemakanan dan penggunaan suplemen. Pengukuran antropometri yang dijalankan termasuk berat dan tinggi. Keputusan menunjukkan bahawa min skor pengetahuan pemakanan subjek ialah 62.5% iaitu pada tahap pengetahuan sederhana. Min skor pengetahuan pemakanan adalah lebih tinggi dalam kalangan anggota di Pangkalan Lumut, lebih berusia, lebih berpendidikan, berpangkat pegawai dan berat badan berlebihan. Sumber maklumat pemakanan yang paling popular ialah televisyen/radio (27.3%), kursus/seminar (24.9%) dan doktor/jururawat (21.6%). Sejumlah 36% subjek melaporkan menggunakan sekurang-kurangnya satu atau lebih suplemen dalam seminggu dan ini termasuk 5.8% yang menggunakannya setiap hari. Kajian asas ini dijangka memberikan maklumat berguna kepada Angkatan Tentera Malaysia dan adalah dicadangkan pendidikan pemakanan perlu diperkenalkan dalam program latihan anggota TLDM bagi memastikan status kesihatan anggota sentiasa terpelihara.