Pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan oleh kerajaan untuk meningkatkan penerimaan orang ramai terhadap pengambilan ikan air tawar sebagai menu harian. Objektif kajian ini adalah untuk menilai penerimaan terhadap sajian ikan air tawar serta menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilannya dalam kalangan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seramai 232 pelajar dipilih secara rawak daripada pelbagai fakulti di UKM (kampus Bangi). Di samping pelajar, pengendali makanan di kafeteria UKM turut terlibat dalam kajian ini. Soal selidik digunakan bagi menentukan tahap kefahaman dan penerimaan pelajar terhadap ikan air tawar, kekerapan pengambilan sajian ikan air tawar serta faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilannya. Kebolehdapatan dan kepelbagaian menu sajian ikan air tawar dikenal pasti melalui tinjauan di kafeteria UKM terpilih. Majoriti responden (95.7%) mengetahui ikan air tawar secara umum tetapi hanya 55.6% responden yang mengetahui jenis atau spesies ikan air tawar. Kebanyakan responden (63.3%) memilih ikan air tawar sebagai sajian. Ujian Khi Kuasa Dua menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan antara agama dan bangsa dengan pemilihan ikan air tawar sebagai sajian (p < 0.05). Ikan Keli merupakan ikan yang paling digemari oleh sejumlah 51.9% responden. Sajian yang paling digemari oleh majoriti responden (36.2%) ialah sajian ikan goreng. Bagi kebanyakan responden (43.2%), sajian ikan air tawar diambil atas faktor rasanya yang sedap. Kebanyakan kafeteria di UKM yang dikaji menjual sajian ikan air tawar dan hal ini didorong terutamanya oleh faktor mempelbagaikan menu di kafeteria mereka. Sejumlah 69.2% kafeteria melaporkan bahawa pelajar dapat menerima dengan baik sajian ikan air tawar yang disediakan tetapi hanya bagi jenis sajian ikan air tawar terpilih. Hasil kajian ini dapat memberi maklumat kepada kerajaan berkenaan penerimaan dan kesedaran pelajar universiti terhadapikan air tawar serta membantu pihak-pihak tertentu khususnya pengendali makanan di kafeteria UKM dalam menyediakan sajian ikan air tawar yang bersesuaian dengan kegemaran pelajar.