Biomonitor Multispesies Air Tawar (Multispecies Freshwater Biomonitor®) (MFB) menggunakan pengukuran dan analisis pelbagai kelakuan daripada pelbagai jenis organisma akuatik untuk memantau kualiti air dalam ekosistem air tawar. Kajian ini dijalankan di dalam makmal bagi menentukan respons spesifik udang air tawar (Macrobrachium lanchesteri) dan ikan gapi (Poecilia reticulata) terhadap logam berat kadmium (Cd). Kepekatan Cd yang berbeza didedahkan kepada M. lanchesteri (1 ppb dan 10 ppb) dan P. reticulata (100 ppb dan 560 ppb) dan perubahan perilaku setiap organisma direkod dengan MFB selama 2 jam. Hasil yang diperolehi menunjukkan peningkatan respons pergerakan dan ventilasi udang air tawar dan ikan dengan peningkatan kepekatan pendedahan kepada logam Cd. Kajian ini menunjukkan udang memberi respons yang lebih sensitif kepada logam Cd berbanding ikan gapi dan spesies tempatan ini sesuai digunakan sebagai organisma penunjuk untuk MFB.