Sains Malaysiana, 2007;36:175-181.

Abstract

Elektrod platinum-polivinilklorida (Pt-PVC) untuk pengoksidaan elektrokimia etanol dalam larutan alkali telah direkabentuk. Elektrod Pt-PVC dibina dengan mencampurkan serbuk-serbuk logam platinum dengan PVC (95:5 w/w), diaduk untuk mendapatkan campuran yang homogen, ditambahkan dengan tetrahidrofuran (THF) untuk melarutkan PVC, dikeringkan, dimasukkan ke dalam acuan berdiameter 1 cm dan ditekan pada tekanan kira-kira 10 tan/cm2. Kajian elektrokimia dilakukan menggunakan voltammetri kitaran (CV) dan kronokoulometri (CC). CV untuk etanol yang menggunakan elektrod-elektrod kepingan logam Pt dan Pt-PVC masing-masing memberikan ketumpatan arus 0.25 mA/cm2 dan 85 mA/cm2 untuk puncak penjerapan hidroksida. Ini menunjukkan bahawa elektrod Pt-PVC mempunyai nilai konduktiviti dan perilaku elektrokimia yang lebih baik untuk pengoksidaan etanol dalam KOH berbanding elektrod kepingan logam Pt. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat peningkatan peratus hasil elektrolisis dari 3.64% kepada 23.64% asid asetik apabila elektrod Pt-PVC digunakan untuk pengoksidaan elektrokimia 0.25 M etanol dalam larutan elektrolit 1.0 M KOH menggantikan elektrod kepingan logam Pt.