Abstract

Kajian kandungan logam berat Cd, Co, Cr, Ni, Pb, dan Zn telah dilakukan ke atas tumbuhan Arundina graminifolia daripada kawasan Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor. Kandungan logam berat yang sama turut ditentukan ke atas substrata tanih di tempat di mana tumbuhan itu diambil. Kandungan logam berat dalam tiga bahagian tumbuhan iaitu akar, batang dan daun telah diekstrak secara penghadaman basah manakala kandungan logam berat tersedia dan resistan dalam tanih diekstrak dengan kaedah pengekstrakan berjujukan. Kandungan logam berat jumlah didapati dengan menjumlahkan logam berat tersedia dengan logam berat resistant. Kandungan logam berat di dalam larutan ekstrak tanih dan tumbuhan ditentukan menggunakan Spektrofotometer Serapan Atom Nyalaan. Kandungan logam berat Cd, Cr, Ni dan Pb adalah setara kandungannya dalam semua bahagian tumbuhan manakala kepekatan Co dan Zn adalah tiga hingga lima kali lebih tinggi berbanding tumbuhan kawalan. Bagi kandungan logam berat di dalam bahagian tumbuhan yang berbeza didapati kepekatan Cd adalah lebih tinggi dalam akar (2.03 mg/kg) diikuti oleh daun (1.67 mg/kg) dan batang (1.49 mg/kg). Kepekatan Co adalah lebih tinggi dalam daun (9.26 mg/kg) diikuti oleh akar (9.18 mg/kg) dan batang (6.94 mg/kg). Kepekatan Cr mengikut susunan menurun adalah akar (0.46 mg/kg) > daun (0.19 mg/kg) > batang (0.08 mg/kg). Kepekatan Ni adalah lebih tinggi dalam daun (2.78 mg/kg) diikuti oleh akar (2.71 mg/kg) dan batang (1.66 mg/kg). Kepekatan Pb mengikut susunan menurun adalah akar (10.34 mg/kg) > daun (4.18 mg/kg) > batang (3.75 mg/kg). Kepekatan Zn lebih tinggi dalam daun (44.03 mg/kg) diikuti oleh akar (32.30 mg/kg) dan batang (13.21 mg/kg). Kandungan logam berat jumlah dalam tanih adalah masing-masing 2.07-5.59 mg/kg, 8.72-39.93 mg/kg, 1.81-2.14 mg/kg, 2.66-6.87 mg/kg, 23.02-51.56 mg/kg and 0.64-2.61 mg/kg bagi Ni, Zn, Cd, Pb, Co dan Cr. Didapati bahawa kandungan fraksi tersedia dalam tanih adalah 21.9% bagi Ni, 15.3% bagi Zn, 49.9% bagi Cd, 19.3% bagi Pb, 45.7% bagi Co and 0% bagi Cr. Koefisien penyerapan biologi tumbuhan ke atas logam berat yang dikaji adalah rendah keculai bagi Zn yang nilainya lebih daripada 1. Tumbuhan ini tidak sesuai digunakan sebagai agen fitoremediasi untuk logam-logam di atas.