Sains Malaysiana, 2007;36:9-13.

Abstract

Kandungan logam berat Fe, Cu dan Mn dalam tanih serta tumbuhan Nepenthes sp yang diambil daripada kawasan bekas lombong bijih timah dan besi di Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor telah dikaji. Kandungan logam berat telah ditentukan di dalam empat bahagian tumbuhan Nepenthes sp. iaitu di dalam akar, batang, daun dan periuk. Sebanyak 15 sampel tumbuhan Nepenthes sp dan tanih dikumpul untuk dianalisis. Komposisi logam-logam berat dalam sampel tanih diekstrak dengan menggunakan campuran asid nitrik dan asid perklorik. Kandungan logam berat dalam tumbuhan pula diekstrak melalui kaedah penghadaman basah. Kandungan logam berat di dalam larutan ekstrak tanih dan tumbuhan ditentukan dengan menggunakan alat Spektrofotometer Serapan Atom Kaedah Nyalaan (FAAS). Nilai Koefisien Penyerapan Biologi (BAC) dikira sebagai nisbah kandungan logam berat dalam tumbuhan kepada kandungan logam berat dalam tanih. Analisis tanih menunjukkan kawasan bekas lombong didominasi oleh pasir dan bersifat asid. Ia juga mempunyai kandungan bahan organik dan nilai kekonduksian elektrik yang rendah. Logam Fe mencatatkan kepekatan purata paling tinggi di dalam tanih diikuti oleh Mn dan Cu. Tumbuhan Nepenthes sp boleh dijadikan sebagai pengumpul biologi untuk logam Fe kerana nilai BACnya adalah tinggi.