Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.

Abstract

Kajian ini dilakukan untuk menentukan ciri fiziko-kimia, kandungan nutrien dan logam berat dalam tanih di tapak Pusat Penyelidikan UKM Tasik Chini. Sampel tanih-atas diambil dari tiga transek pensampelan iaitu T1, T2 dan T3. Dua profil tanih telah dicerap di transek 1 (T1S1 & T1S3) dan sampel tanih telah diambil daripada profil dan juga tanih atas untuk penentuan ciri fiziko-kimia, kandungan nutrien dan logam berat. Bagi sampel tanih-atas, sebanyak empat stesen pensampelan (S1, S2, S3, S4) telah dipilih di transek 1 (T1), dua stesen pensampelan (S1, S2) di transek 2 (T2) dan tiga stesen pensampelan (S1, S2, S3) di transek 3 (T3) telah dipilih. Ciri fiziko-kimia yang ditentukan adalah pH, kekonduksian elektrik (KE), kapasiti pertukatan kation (KPK), fosforus, kalium dan magnesium tersedia dan nutrien terlarut, dan logam berat terpilih. Semua penentuan fiziko-kimia tanih, nutrien tersedia dan terlarut serta logam berat dilakukan mengikut kaedah penentuan yang piawai. Hasil uji kaji menunjukkan tekstur tanih didominasi oleh zarahan bersaiz lempung. Kandungan bahan organik tinggi pada tanih-atas dan berkurangan mengikut kedalaman. Purata nilai pH tanih di dalam profil dan tanih-atas adalah di antara 3.66 hingga 4.73 dan ia adalah sangat berasid. Sela purata bagi kekonduksian elektrik dalam profil dan tanih-atas adalah antara 2412 μScm-1 dan 2742 μScm-1. Purata nilai KPK adalah rendah iaitu antara 4.86 dan 12.58 meq/100g tanih. Kepekatan fosforus, magnesium dan kalium tersedia masing-masing mempunyai sela antara 1.76 – 3.32 μg/g, 16.80 – 122.23 μg/g dan 20.09 – 30.50 μg/g. Kepekatan nutrien terlarut bagi sulfat, nitrat-nitrogen, ammonium-nitrogen dan fosforus masing-masing adalah 37.50 – 1350 μg/g, 12.17 dan 90.00 μg/g, 12.17 to 53.17 μg/g dan 0.05 dan 0.62 μg/g. Kepekatan ferum dan Pb sangat tinggi di T1S1 dan di horizon bawah profil T1S3. Secara amnya tanih di tapak PPTC adalah sangat berasid dan mempunyai kandungan nutrien yang rendah. Terdapat bukti menunjukkan berlaku pengayaan Pb dalam tanih yang menerima pengaruh pasang surut jasad air tasik.