Abstract

Tinjauan sepanjang lebuhraya Puchong-Kajang telah dijalankan khususnya di kawasan Puchong, Selangor. Terdapat 12 stesen telah dilawati dan 6 daripadanya telah dilakukan pensampelan tanah bagi analisis makmal. Cerun-cerun yang terbabit dengan pensampelan ini melibatkan cerun jenis tanih dengan julat darjah luluhawa di antara gred IV dan VI. Sampel-sampel tanih yang diambil mewakili cerun yang mengalami kegagalan dan cerun yang stabil. Ciri-ciri fiziko-kimia tanih yang dikaji melibatkan kandungan air segar dan dalam keadaan tepu, kandungan bahan organik, taburan saiz zarah, ketumpatan pukal dan sebenar, keporosan tanah, serakan liat, pH dan kandungan oksida ferum. Kandungan air tanah segar menunjukkan peratusan yang lebih tinggi pada cerun gagal berbanding cerun yang stabil. Semua sampel menunjukkan kandungan air tanah lapangan di bawah tahap kandungan air tepu. Kandungan bahan organik adalah sangat rendah (<2%) dan tanah boleh dikelaskan sebagai berpotensi tidak stabil. Terdapat hubungan positif yang jelas antara kandungan air dan bahan organik khususnya pada cerun gagal. Porositi tanah menunjukkan perkaitan positif terhadap lempung dan kandungan bahan organik. Kebanyakan tanah dikelaskan sebagai bertekstur lempung berpasir berbanding tekstur lain. Nilai-nilai koefisien serakan liat menunjukkan struktur tanah berada dalam kategori stabil hingga sangat stabil berbanding satu stesen yang dikelaskan sebagai tidak stabil. Secara umumnya, tanah terdiri daripada jenis asidik (pH4.87 - pH4.34) dengan kehadiran oksida ferum kurang daripada 6%.