Abstract

Analisis taburan kepekatan logam berat dalam tanih, sifat fiziko-kimia sampel tanih dan survei keberintangan geoelektrik 2D di tapak pelupusan sampah Sungai Kembong telah dilakukan untuk melihat kesan larut lesap logam berat di sekitar tapak pelupusan tersebut. Jumlah sampel tanih yang dikutip untuk analisis fiziko kimia dan analisis logam berat adalah 30 dan diambil dari kedalaman 60 cm di bahagian tapak yang tidak aktif dan telah ditimbus. Survei keberintangan geoelektrik telah dilakukan dengan teknik susun atur Wenner dan teknik pengimejan 2D. Jarak antara elektrod ialah 5 m dan jumlah panjang garis rentas adalah 300 m. Analisis sampel tanih menunjukkan kandungan pasir adalah 25 - 75%, manakala kandungan lempung adalah 5 – 41% dan kandungan kelodak pula adalah 19-67%. Hasil analisis logam berat menunjukkan kepekatan logam Cu, Pb dan Cr melebihi paras normal manakala logam lain seperti Ni, Co, Cd, Zn dan Fe berada pada julat normal. Kepekatan Cu adalah 2-326 μg/g manakala kepekatan Pb dan Cr masing-masing adalah 3-78 μg/g dan 4-76 μg/g. Model 2D songsang sepanjang garisan rentasan menunjukkan julat keberintangan antara 5 Ωm sehingga 105 Ωm. Julat keberintangan bahan larut lesap adalah sekitar 3 - 5 Ωm. Purata ketebalan bahan larut lesap dianggarkan sekitar 20 hingga 100 m. Nilai purata KPK adalah pada julat 1.73 hingga 3.85 meq/100. Manakala pH pada julat 4 hingga 7. Kekonduksian elektrik menunjukkan bacaan antara 1910-5525 μS/cm. BOT dalam sampel menunjukkan nilai yang rendah iaitu 0.3-5.6%. Kajian mineralogi menggunakan pembelauan sinar-X (XRD), menunjukkan kandungan mineral terdiri daripada muskovit, kuarza, kaolinit dan ortoklas. Mineral-mineral ini ditafsirkan berasal dari tanah penutup yang diambil dari batuan metasedimen di perbukitan sekitar tapak kajian. Hasil kajian menunjukkan tanah yang digunakan berjaya mengawal pergerakan logam-logam berat dari meresap ke kawasan sekitar.