Abstract

Sebanyak 40 sampel sedimen pantai Pulau Langkawi telah dianalisis bagi menentukan kepekatan kandungan logam berat Co, Pb, Ni, Cr, Zn dan Cu. Sampel permukaan sedimen diambil di kawasan Pulau Dayang Bunting, Pulau Tuba dan Selat Kuah. Parameter sedimen yang mempengaruhi pengayaan logam berat seperti pH, peratus kandungan bahan organik dan taburan saiz partikel sedimen juga ditentukan. Data yang diperolehi menunjukkan kelimpahan kandungan logam berat unsur Co, Pb, Ni, Cr, Zn, dan Cu di dalam sampel sedimen adalah masing-masing mempunyai sela pada 13-75 μgg-1, 9-113 μgg-1, 3-57 μgg-1, 2-26 μgg-1, 8-69 μgg-1 dan 2-14 μgg-1. Nilai pH dan kandungan bahan organik sedimen masing-masing mempunyai sela pada 3.95-8.39 dan 0.06-15.01%, manakala taburan saiz partikel didominasi oleh saiz pasir iaitu melebihi 70%. Analisis korelasi bagi semua sampel menunjukkan kelimpahan logam-logam berat di dalam sedimen dipengaruhi oleh kandungan bahan organik, kelodak dan lempung, manakala korelasi di antara kandungan logam berat menunjukkan hubungan positif signifikan dengan semua unsur pada paras melebihi 1%. Secara keseluruhan kepekatan kandungan logam berat Co dan Pb di dalam sedimen adalah tinggi menunjukkan sekitarannya telah tercemar yang berpunca daripada aktiviti pembangunan pesat di sebelah daratan ataupun aktiviti kelautan.