Sains Malaysiana, 2010;39:199-207.

Abstract

Kajian mengenai taburan ostrakod di dalam sedimen luar pantai telah dijalankan sekitar Pulau Besar, Johor. Sebanyak 11 stesen telah dipilih sebagai stesen pensampelan. Sebanyak 47 spesies ostrakod hidup dan mati daripada 37 genus dan 18 famili telah dikutip dan dikenal pasti. Sebanyak 1036 spesimen mati dan 932 spesimen hidup telah dijumpai di kawasan kajian. Spesies yang paling dominan adalah Pistocythereis cribriformis dan famili yang paling dominan ialah Trachyleberididae. Famili yang mempunyai kepelbagaian spesies terbanyak ialah Trachyleberididae dengan 14 spesies. Beberapa parameter fiziko-kimia telah diukur secara in-situ terdiri daripada suhu, saliniti, oksigen terlarut, pH dan kedalaman. Julat bagi setiap parameter masing-masing adalah 27.05-30.80oC, 31.20-34.01 ppt, 6.90-11.93 mg/L dan 6.60-20.50 m. Bagi parameter fiziko-kimia ex-situ seperti peratus bahan organik, pasir, lodak dan lempung dengan julat bagi setiap parameter masing-masing adalah 1.98-7.58%, 74.87-95.05%, 0.05-24.21% dan 0.75-9.74%. Tekstur sedimen di kawasan kajian boleh dikelaskan kepada pasir berlodak, pasir sangat halus, pasir halus, pasir sederhana dan pasir kasar. Indeks Shannon-Wiener, H(S) yang paling tinggi dicatatkan pada stesen ST 6 dengan 2.91 dan paling rendah pada stesen ST 11 iaitu 2.26. Kelimpahan dan kepelbagaian ostrakod adalah berkait dengan ciri-ciri sedimen. Peratus lodak menunjukkan korelasi positif yang signifikan manakala suhu dan peratus pasir menunjukkan korelasi negatif yang signifikan dengan kelimpahan ostrakod bentos. Parameter-parameter fiziko-kimia yang lain tidak menunjukkan hubungan yang signifikan.