Abstract

Kajian kepelbagaian dan penyebaran ikan di Tasik Chini telah dijalankan menggunakan jaring insang sebagai alat penangkapan. Sebanyak lapan stesen pensampelan telah dipilih (habitat berbeza) di seluruh tasik dan pensampelan telah dilakukan secara rawak di kawasan yang terpilih. Sejumlah 24 spesies ikan telah direkodkan yang terdiri daripada 944 ekor ikan. Kebanyakan ikan yang direkodkan adalah terdiri daripada famili Cyprinidae. Spesies dominan yang ditemui di Tasik Chini ialah loma (Thynnichthys thynnoides), cemperas (Cyclocheilichythys apogon) dan potok (Notopterus notopterus). Hasil ujian t-berpasangan menunjukkan terdapat perbezaan bermakna kepadatan ikan yang ditangkap di antara waktu siang dan waktu malam (p = 0.01, α = 0.05) dan spesies pemangsa didapati paling dominan pada waktu malam. Kepelbagaian dan kepadatan ikan didapati lebih tinggi semasa pensampelan musim monsun yang dipercayai kesan daripada kemasukan ikan-ikan dari Sungai Pahang melalui Sungai Chini.