Abstract

Kajian ini adalah mengenai peranan sterol sebagai penunjuk bio-lipid untuk mengenal pasti variasi dan sumber bahan organik yang hadir bersama sedimen permukaan dari Kuala Selangor, Selangor. Kajian melibatkan kaedah pengekstrakan sterol daripada sampel sedimen dan seterusnya dianalisis menggunakan GC-MS untuk menentukan kehadiran sebatian tersebut. Sepuluh sebatian sterol dikenal pasti hadir dengan fitosterol merupakan sebatian dominan di kawasan kajian iaitu 79% daripada jumlah keseluruhan sterol. Ini diikuti oleh kolesterol serta sterol kumbahan masing-masing menyumbangkan 6% daripada jumlah keseluruhan sterol manakala selebihnya berada dalam julat 1-5%. Indeks Sumber Sterol (SSI) juga menunjukkan kandungan fitosterol yang tinggi walaupun hadir pada kadar yang berbeza di setiap stesen pensampelan. Penilaian pencemaran kumbahan menggunakan nisbah koprostanol/kolesterol, koprostanol/(koprostanol+kholestanol) serta epikoprostanol/koprostanol menunjukkan kawasan kajian tidak mengalami pencemaran kumbahan walaupun sterol daripada sumber kumbahan hadir di persekitarannya. Kesimpulannya sedimen permukaan di Kuala Selangor, Selangor mengandungi campuran sterol daripada pelbagai sumber yang hadir di persekitarannya dengan didominasi oleh fitosterol yang berasal daripada tumbuhan terestrial.