Analisis geokimia menggunakan kaedah ICP-MS menunjukkan taburan geokimia unsur di kawasan kajian dipengaruhi
oleh dua asalan sedimen berbeza iaitu daripada marin dan daratan. Unsur Ca dan Mg dikenal pasti sebagai unsur
marin, manakala unsur Al, Fe, Mn, Na, Cu, Cr, Zn dan Ni dikenal pasti sebagai unsur daratan. Unsur Ca dan Mg dikenal
pasti terhasil daripada proses penyahkapuran rangka dan hidupan marin seperti cengkerang moluska dan foraminifera.
Unsur benua berasal daripada granit dari Gunung Korbu dan Gunung Stong yang disaliri oleh Sungai Nenggiri dan
Sungai Galas, serta batuan argilit arenit yang berasal dari bahagian selatan dan tenggara Negeri Kelantan dari
Gunung Cintawangsa dan Gunung Stong dan disaliri oleh Sungai Lebir dan Sungai Galas. Unsur daripada batuan
induk membebaskan unsur kimia semasa luluhawa kimia dan telah dijerap oleh cas-cas negatif pada permukaan sedimen
halus seperti lempung dan lodak sebelum dimendapkan bersama di dalam kawasan kajian.