Displaying all 3 publications

Abstract:
Sort:
  1. Che Aziz Ali, Kamal Roslan Mohamed, Nurul Afifah Mohd Radzir
    Sains Malaysiana, 2018;47:1387-1392.
    Analisis geokimia menggunakan kaedah ICP-MS menunjukkan taburan geokimia unsur di kawasan kajian dipengaruhi
    oleh dua asalan sedimen berbeza iaitu daripada marin dan daratan. Unsur Ca dan Mg dikenal pasti sebagai unsur
    marin, manakala unsur Al, Fe, Mn, Na, Cu, Cr, Zn dan Ni dikenal pasti sebagai unsur daratan. Unsur Ca dan Mg dikenal
    pasti terhasil daripada proses penyahkapuran rangka dan hidupan marin seperti cengkerang moluska dan foraminifera.
    Unsur benua berasal daripada granit dari Gunung Korbu dan Gunung Stong yang disaliri oleh Sungai Nenggiri dan
    Sungai Galas, serta batuan argilit arenit yang berasal dari bahagian selatan dan tenggara Negeri Kelantan dari
    Gunung Cintawangsa dan Gunung Stong dan disaliri oleh Sungai Lebir dan Sungai Galas. Unsur daripada batuan
    induk membebaskan unsur kimia semasa luluhawa kimia dan telah dijerap oleh cas-cas negatif pada permukaan sedimen
    halus seperti lempung dan lodak sebelum dimendapkan bersama di dalam kawasan kajian.
  2. Nurul Afifah Mohd Radzir, Che Aziz Ali, Kamal Roslan Mohamed
    Sains Malaysiana, 2016;45:1843-1848.
    Pemetaan dengan menggunakan kaedah pantulan bunyi telah menemukan satu permukaan lantai laut yang unik dengan ciri morfologi yang pelbagai bermula dari kawasan pesisir laut cetek Delta Sungai Kelantan hingga ke pelantar benua Laut China Selatan. Morfologi lantai laut menunjukkan peningkatan sehingga 38 m ke arah pelantar benua. Empat rentasan lantai laut menunjukkan kemiringan yang kurang daripada 1° dengan nilai antara 0.05° dan 0.57°, menunjukkan penurunan yang sekata sehingga pelantar benua. Suatu tindakan mekanisme pencetus telah menyebabkan fenomena lompatan hidraulik berlaku dan membentuk ketakseragaman morfologi lantai laut dan menghasilkan satu lohong hitam sedalam 26 m dari lantai laut sekitarnya dan pembentukan satu beting pasir yang mempunyai ketinggian sehingga 8 m dari permukaan laut dengan keluasan sekitar 9 km2. Penentuan fenomena yang terhasil dikukuhkan dengan penemuan empat kontur tertutup yang dikenal pasti sebagai kaviti kecil di tiga kawasan yang berbeza. Kesemua fitur dan perubahan morfologi yang berlaku di kawasan lantai laut ini terhasil daripada jatuhan air dari mulut Sungai Kelantan yang berterusan dengan kadar kelajuan berbeza bergantung kepada pelepasan air dan musim monsun.
  3. Nurul Afifah Mohd Radzir, Che Aziz Ali, Kamal Roslan Mohamed
    Sains Malaysiana, 2017;46:1521-1529.
    Pencirian butiran kuarza berskala mikro dengan menggunakan mikroskop pengimbas elektron (SEM) menemukan beberapa jenis kuarza yang mempunyai tekstur dan morfologi butiran kuarza berbeza. Penggunaan kaedah ini telah berjaya mengenal pasti enam jenis butiran kuarza iaitu kuarza jenis A, B, C, D, E dan F. Pengelasan dibuat berdasarkan tekstur dan morfologi butiran yang menggambarkan sejarah pengangkutan (proses mekanik) dan pengendapan yang telah dilalui oleh butiran kuarza tersebut. Keenam-enam jenis kuarza tersebut diterbitkan oleh dua faktor geologi iaitu genetik butiran kuarza dan proses mekanik semasa pengangkutan. Hasil daripada pembahagian faktor ini, dua wilayah taburan jenis butiran kuarza telah dikenal pasti iaitu wilayah I dan wilayah II. Wilayah I mencirikan kuarza yang mengalami proses mekanik lemah sehingga sederhana dan dikenal pasti sebagai sedimen Resen yang diangkut melalui Sungai Kelantan sebelum dienapkan ke dalam kawasan lembangan Laut China Selatan. Sedimen Resen ini menunjukkan tekstur permukaan yang tidak kasar dicirikan oleh tanda V berdiameter < 2 μm atau tiada dan berbentuk bulat hingga bersegi. Manakala, wilayah II pula mempunyai butiran kuarza yang telah mengalami proses mekanik yang sederhana tinggi sehingga sangat tinggi. Sedimen yang dicerap di wilayah II ini merupakan campuran sedimen Resen dan sedimen baki yang terdiri daripada sedimen sub-arkos lautan yang telah dienapkan sejak 5000 tahun lampau. Sedimen sub-arkos lautan ini mengalami beberapa kali proses mekanik yang menghasilkan tekstur yang kasar, tanda V <2 μm hingga >2 μm dan lelasan yang tinggi pada permukaan kuarza dan morfologi yang bulat hingga hampir sfera.
Related Terms
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links