Sains Malaysiana, 2012;41:829-840.

Abstract

Pemantauan air dan tanah tercemar di sekitar tapak pelupusan sampah selalunya dilakukan dengan analisis kimia air permukaan, bahan larut resap dan tanah serta pengukuran geofizik. Air larut resap merupakan cecair yang berasal daripada hasil larutan air hujan terhadap sisa-sisa buangan di tapak pelupusan, yang terkumpul dan meresap masuk ke dalam liang-liang tanah. Satu kajian untuk mengesan pergerakan cecair larut resap telah dilakukan di tapak pelupusan sampah Sungai Sedu yang terletak atas tanah seluas 10 ekar berhampiran pekan Banting. Geologi kawasan kajian dibahagikan kepada formasi Beruas dan Gula iaitu aluvium berusia Kuaterner terdiri daripada lempung samudera yang terendap di atas batuan dasar metasedimen Formasi Bukit Kenny. Survei geofizik dengan teknik pengimejan keberintangan geoelektrik 2D, keberintangan profil menegak (VRP) dan analisis geokimia terhadap sampel tanah dan air telah dijalankan untuk mengetahui tahap migrasi bahan larut resap di sekitar tapak pelupusan tersebut. Tahap migrasi bahan pencemaran akan dikaji melalui hasil analisis seperti nilai model keberintangan elektrik dan kepekatan logam berat berbanding dengan nilai latar belakang. Dalam kajian ini, survei pengimejan elektrik 2D telah dilakukan di sepanjang 8 garis rentasan dan pengukuran VRP telah dilakukan di dalam 6 lubang gerudi. Analisis geokimia untuk mengetahui kepekatan unsur-unsur tertentu telah dilakukan ke atas 33 sampel tanah dan 7 sampel air. Keratan rentas keberintangan menunjukkan bahawa bahan larut resap telah meresap sehingga kedalaman 3-5 m berdasarkan nilai keberintangan elektrik yang rendah secara relatif iaitu kurang daripada 1 ohm m. Kepekatan unsur-unsur yang disukat pula menunjukkan bahan larut resap telah bergerak ke arah sungai yang terletak di sebelah kawasan kajian. Kepekatan logam berat dalam sampel-sampel air sungai dan tanah adalah tinggi dan melebihi nilai latar belakang terutama bagi unsur Ni, Mn, Cr, Zn dan As. Konduktiviti elektrik sampel tanah tebing sungai, air sungai dan air larut resap yang diukur di lapangan adalah masing-masing 6600 µS/cm, dan 20000-50000 µS/cm manakala julat pH bagi semua sampel tersebut adalah di antara 3-5. Nilai konduktiviti dan kepekatan logam berat yang tinggi membuktikan bahawa bahan larut resap telah bergerak dari tapak pelupusan untuk mencemari air sungai, air tanah dan tanah di kawasan sekitar.